Apple Dilihat Semakin Serius Mengenai Projek Kereta Pintar Mereka Dengan Pengambilan Bekas SVP BMW

Diterbitkan pada Jun 11, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Seperti yang sedia maklum, Apple sebelum ini mempunyai cita-cita besar untuk memasuki bidang automotif setelah menguasai arena perkomputeran.

Projek yang berjalan selama bertahun-tahun ini pada mulanya memperlihatkan Apple membangunkan sistem Carplay yang membolehkan pengguna mengintegrasi peranti iPhone mereka ke sistem infotainment sesebuah kereta, malah peranti tersebut juga boleh digunakan sebagai kunci kereta, menggantikan kunci kereta fizikal sedia ada.

Berita mengenai kereta elektrik pintar Apple tidak banyak kedengaran kebelakangan ini, tetapi berita mengenai pengambilan Ulrich Kranz, bekas timbalan presiden di BMW nampaknya bakal merancakkan pelan Apple untuk industri automotif.

Ulrich Kranz, yang sebelum ini bekerja di BMW selama 30 tahun adalah diantara individu yang bertanggungjawab untuk membangunkan konsep kereta-kereta elektrik BMW, termasuklah BMW i3 dan BMW i8. Setelah meninggalkan syarikat tersebut pada tahun 2016, beliau berada di Faraday Future untuk beberapa bulan sebelum menubuhkan Canoo, sebuah syarikat startup yang bertujuan untuk membangunkan kereta pintar.

Ulrich dikatakan akan mengetuai bahagian automotif Apple, dan walaupun projek ini telah dimulakan beberapa tahun lalu, kehilangan beberapa eksekutif sebelum ini bermakna bahawa ia tersadai untuk sekian lamanya dan hanya dimulakan kembali beberapa bulan yang lalu.

Laporan Bloomberg mengatakan bahawa projek ini masih lagi dalam fasa-fasa awal, dan jangkaannya ialah kita hanya akan mendengar berita lanjut mengenai kenderaan pintar Apple ini dalam masa empat ke lima tahun akan datang.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami