Samsung Hasilkan Kotak Bungkusan Mesra Alam Untuk Televisyen

Diterbitkan pada Jun 11, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Bercakap mengenai alam sekitar, ia merupakan antara aset terpenting yang perlu diberi perhatian menyeluruh. Pada dasarnya, alam sekitar juga sememangnya memainkan peranan cukup penting dalam kehidupan manusia. Justeru, sudah menjadi tanggungjawab semua untuk menjaganya, di samping memanfatkannya untuk kebaikan. Selari dengan itu, ramai pihak yang telah mengambil pelbagai pendekatan terancang dan strategik dalam usaha memastikan alam sekitar sentiasa terjaga. Ini termasuklah pihak Samsung sendiri yang turut memandang serius berkaitan hal ini.

Sejak mengumumkan Samsung Environmental Declaration pada tahun 1992, Samsung telah melaksanakan pelbagai dasar yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar yang menjadikan inovasi industrinya lebih mesra alam. Melaluinya setiap kali Samsung memperkenalkan produk baharu, mereka juga akan mengitar semula sebanyak mungkin plastik kepada bahan lain yang lebih mesra alam.

Baru-baru ini juga, jenama gergasi dari Korea Selatan ini telah hadir dengan beberapa lagi barangan yang mesra alam. Ini termasuklah kotak bungkusan untuk televisyen pintar mereka. Difahamkan, kotak pembungkus berkenaan digunakan untuk siri televisyen The Serif, The Frame dan The Sero yang terkini. Lebih menarik, kotak bungkusan tersebut juga boleh diubahsuai menjadi beberapa aksesori lain seperti rumah untuk haiwan peliharaan, perabot-perabot kecil dan lain-lain. Pada masa sama, terdapat juga kod QR tersedia yang boleh diimbas bertujuan untuk manual khusus.

Bukan itu sahaja, Samsung juga sedia hadir dengan alat kawalan televisyen yang dilengkapi sokongan pengecasan solar. Dinamakan sebagai Eco Remote, alat kawalan ini akan disertakan pada mana-mana televisyen pintar terkini Samsung bermula tahun ini. Pada dasarnya, ia mempunyai rekaan yang sama sahaja dengan kebanyakan alat kawalan untuk televisyen pintar sedia ada.

Tetapi yang menarik mengenainya adalah alat kawalan ini dilengkapi sokongan pengecasan solar – yang mana ia boleh dicas secara automatik menggunakan cahaya rumah, luar rumah atau kabel USB. Menurut Samsung juga, ia secara tidak langsung mampu membantu dalam mengurangkan penggunaan bateri AAA sebanyak sekitar 99 juta bateri dalam tempoh 7 tahun.

Dalam pada itu, Samsung turut akan terus memperluaskan lagi penggunaan bahan mesra alam merangkumi lebih banyak rangkaian produk. Ini termasuklah bahan yang digunakan untuk monitor dan pelbagai lagi barangan lain. Melaluinya, Samsung berharap ianya mampu untuk bantu dalam mengurangkan kesan terhadap alam sekitar. Pada masa, dapat terus mewujudkan masa depan yang mampan dengan produk yang lebih kreatif.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami