Syarikat pengeluar yang paling gigih melancarkan peranti baharu setiap beberapa minggu adalah Huawei dan Honor. Tetapi era tersebut berakhir selepas kekangan perdagangan dikenakan ke atas Huawei. Bagi mereka ang suka melihat peranti baharu dilancarkan dengan jadual kekerapan tinggi seperti SOP MKN, jangan risau kerana ia kini diambil alih dengan jayanya oleh Realme.
Realme C25s meneruskan tradisi mereka menawarkan peranti pelanduk 16 serupa dengan hanya perubahan dilakukan pada nama, kemasan dan sedikit spesifikasi. Jika dibandingkan dengan C25 yang dilancarkan di Indonesia pada Mac lalu, C25s dilengkapi “enjin” lebih pada MediaTek Helio G85 menggantikan Helio G70. Jadi apakah lagi yang menarik pada peranti mampu milik ini? Teruskan membaca jika ingin mengetahui jawapannya.
Spesifikasi Ringkas Peranti
Realme C25s | |
---|---|
Skrin | 6.5″ IPS LCD, HD+ (720 x 1600), (~270 ppi) |
Pemproses | MediaTek Helio G85 (12nm) |
Cip | 2 x 2.0 GHz Cortex-A75 6 x 1.8 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G52 MC2 |
RAM | 4GB |
Muatan Dalaman | 129GB eMMC 5.1 (Mikro SD sehingga 256GB) |
Kamera Utama | 48+2 +2-Megapixel |
Kamera Swafoto | 8-Megapixel f/2.0 |
Bateri | 6000mAh Pengecasan berwayar 18W |
SIM/Telefoni | SIM Nano + SIM Nano + MicroSD |
NFC | Tiada |
Bicu Audio | Ada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari fizikal & Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM699 |
Rekaan
Rekaan adalah amat asas dengan tubuh polikarbonat dengan bingkai logam yang cukup kukuh binaannya. Apa yang boleh kami katakan ialah dari segi kemasan walaupun C25s ialah peranti kelas permulaan, kemasannya langsung tidak mengecewakan. Secara peribadi kami merasakan tubuh polikarbonat pada tahun 2021 bukanlah sesuatu yang negatif kerana mengurangkan kos, tidak memerangkap kotoran dengan mudah dan lebih tahan hentakkan berbanding panel kaca yang lebih premium. Bagi insan yang kerap menjatuhkan peranti seperti kami, ia membuatkan peranti selesa digunakan tanpa menggunakan sebarang kerangka tahan lasa.
Panel belakang polikarbonat mempunyai tekstur kasar yang membuatkan ia semakin sukar untuk tergelincir walaupun dalam situasi tangan basah. Tekstur yang sama membantu lagi mengelakkan cap jari melekat. Perkara negatif yang wujud hanyalah tubuh peranti adalah sedikit tebal bagi membolehkan bateri 6000 mAh digunakan. Masih tiada teknologi yang membolehkan bateri besar dimasukkan ke dalam tubuh yang nipis seperti roti canai.
Rekaan retro klasik diteruskan lagi dengan meletakkan sebuah pengimbas cap jari pada panel belakang berbentuk bulat. Jika ada satu rekaan yang kami rindui pada peranti moden ialah pengimbas cap jari fizikal. Ia sebenarnya lebih pantas berbanding imbasan wajah dan pengimbas cap jari bawah skrin. Kerana ia fizikal, mudah mencari lokasi meletakkan jari walaupun dengan peranti masih lagi di dalam kocek seluar. Satu ciri yang tiada ialah ciri menarik talam notifikasi ke bawah menggunakan pengimbas cap jari yang dipopularkan HTC.
Butang kuasa dan laras audio pada bahagian kanan peranti juga amat teguh. Tidak longgar atau bergoyang apabila ditekan berkali-kali. Dari segi kualiti binaan, C25s lebih mirip peranti kelas pertengahan Android moden. Tiada perkara negatif yang boleh kami tulis mengenai binaan setakat ini.
Sebuah bicu audio 3.5mm, speaker dan port pengecasan USB-C diletakkan pada bahagian bawah. Penggunaan USB-C adalah amat dialu-alukan kerana mikro USB sudah tidak layak digunakan sejak penghujung 2019. Dengan port ini proses mengitar semula pengecas USB-C lama atau meminjam dari rakan juga lebih mudah memandangkan kabel mikro USB kini hampir pupus seperti biosfera Tasik Chini.
Bergerak ke sisi kiri, terdapat talam untuk dua SIM dan satu kad mikro SD. Ketiga-tiga slot adalah berasingan membolehkan dua rangkaian selular dan penambahan storan dinikmati secara serentak. Realme tidak lokek memberikan ciri yang semakin dilupakan sejak pengenalan eSIM.
Skrin
Skrin 6.5″ IPS LCD adalah agak besar tetap sekadar menyokong resolusi HD+. Oleh itu ia sekadar mempunyai kepadatan pixel 270 PPI yang sekitar separuh pada sebuah peranti FHD. Skrin adalah rata degan takuk yang kecil pada bahagian atas. Takuk ini sekiranya mengganggu boleh disorokkan menerusi perisian yang menambah dahi maya berwarna hitam. Dengan skrin rata tiada isu video yang ditonton melimpah ke sisi. Satu trend moden yang juga kurang kami gemari ialah penggunaan skrin melengkung. Baguslah Realme tidak terpengaruh untuk menawarkannya pada C25s.
Sungguhpun begitu kami kena ikhlas dalam mengulas. Kombinasi skrin besar IPS LCD dengan resolusi rendah membuatkan paparan kurang tajam. Kami boleh melihat ianya sedikit kabur jika dibandingkan dengan skrin S21 Ultra yang kami gunakan sebagai peranti kegunaan harian. Seperti mana ada semua tidak lagi boleh menerima video kualiti VCD di TV, kami sudah tidak lagi boleh menerima skrin yang kurang tajam sekarang kerana sudah dimanjakan dengan skrin QHD+.
Tidak berakhir di sini, skrin juga masa lagi 60Hz sahaja dengan paparan warna kurang menyerlah. Panel OLED ialah piawaian tahap emas pasaran semasa dan teknologi IPS LCD mula menunjukkan usianya yang sudah agak lanjut. Kalau sekadar melayari web dan aplikasi media sosial visual yang dipaparkan masih boleh diterima tetapi apabila menonton video visual adalah kurang menyerlah.
Semasa menatal juga kami dapat rasakan ia tidak terlalu lancar lebih-lebih lagi pada laman web yang panjang atau talam aplikasi. Ada sedikit ghosting menyebabkan tatalan terasa sedikit tersengguk-sengguk. Memang segmen skrin ini dipenuhi skrin yang kritikal tetapi hakikatnya inilah yang wujud pada peranti kelas permulaan mampu milik. Pengalaman penggunaan memang tidak boleh menandingi apa yang mampu ditawarkan pada peranti kelas pertengahan dan ke atas.
Perisian
Android 11 dengan pelancar realme UI 2.0 dibangunkan pada C25s. Ini adalah versi terkini dengan pelbagai ciri menarik disertakan. Terdapat ciri tema bagi mengubah rupa antaramuka sekiranya anda merasakan rekaan hampir Android asli tidak menarik. Terdapat juga ciri tambahan seperti gestur, multi-windows, game space, Smart Sidebar, dan banyak lagi. Kesemua ciri-ciri yang diberikan pada peranti lebih berprestasi tinggi Realme turut diberikan kepada C25s.
Kesemua aplikasi yang kami muat turun berfungsi amat baik dan seperti yang diharapkan. Seperti yang kami sudah katakan pada segmen skrin di atas, cuma kami rasakan animasi dan tatalan tidak terasa begitu lancar. Ini besar kemungkinan kerana kami sudah lebih setahun menggunakan peranti dengan skrin 120Hz. Apabila kembali ke skrin 60Hz animasi yang dahulunya terasa lancar kini terasa kurang lancar. Kami rasakan jika anda tidak pernah menggunakan peranti dengan skrin kadar segar semula tinggi, skrin 60Hz C25s mungkin tidak mendatangkan sebarang isu.
Seperkara lagi dengan RAM hanya 4GB, jumlah aplikasi yang boleh dilancarkan serentak juga adalah terhad. Kami boleh melancarkan sehingga enam aplikasi berat (seperti Chrome dan Instagram) sebelum aplikasi akan disegar semula. Kalau ada permua dilancarkan, janganlah buka lebih dari empat kerana lebih kerap segar semula akan berlaku. Hakikatnya pada tahun 2021, penggunaan sekurang-kurangnya 6GB RAM diperlukan.
Walaupun tiada masalah menggunakan pelbagai aplikasi berlaku sepanjang tempoh ujian, kami menyedari pengalaman penggunaan tidak setanding peranti kelas pertengahan yang lebih baik. Kuasa pada MediaTek Helio G95 hanya cukup baik untuk permua bergrafik rendah dan tanpa kesan khas yang tinggi. Permua popular seperti COD Mobile, Asphalt9 dan PUBG Mobile boleh dimainkan tetapi pada tetapan yang rendah.
Serasi dengan status Helio G95 sebagai pemproses kelas rendah membuatkan anda perlu meletakkan harapan yang lebih realistik. Cip ini tidak akan mampu menawarkan grafik kelas Snapdragon 888. Lebih cepat anda sedar, lebih cepat anda akan menyedari bahawa all things considered, C25s memberikan pengalaman yang setanding dengan peranti lain di dalam kelasnya.
Telefoni Dan GPS
Prestasi telefon adalah amat baik. Tiada isu untuk mendapatkan isyarat penuh 4G di beberapa kawasan sekita Lembah Klang. Panggilan suara adalah terang terutamanya jika mod panggilan menerusi WiFi digunakan. Tiada sokongan VoLTE tetapi ini memang dijangka kerana setahu kami memang tidak ditawarkan pada peranti kelas permulaan.
Kemampuan GPS adalah baik tetapi bukan yang paling pantas. Mengambil satu atau dua saat lebih lama berbanding peranti kelas pertengahan mercu yang pernah diulas. Tiada isu kehilangan isyarat berlaku dan aplikasi Waze dan Google Maps mampu menunjukkan lokasi yang tepat. Satu penafian di sini ialah kerana PKP kami tidak dapat pergi ke tengah-tengah Kuala Lumpur dan mencuba prestasi diantara bangunan-bangunan tinggi.
Kamera
Tri-kamera menggabungkan sensor sudut lebar 48MP, makro 2MP dan pengesan kedalaman 2MP. Walaupun sensor utama sebesar 48MP, gambar yang diambil adalah tahap sederhana sahaja. Pujian hanya diberikan kepada bonggol kamera yang tidak besar maka tidak menjelikkan.
Mampu mengambil gambar yang baik dalam situasi pencahayaan yang baik tetapi mula menunjukkan kelemahan dalam situasi gelap. Tanpa OIS, imej yang diambil kelihatan lebih lembut – kurang tajam jika dibandingkan dengan kamera peranti kelas pertengahan dengan sensor bersaiz yang sama. Penghasilan semula warna juga kurang menyerlah dengan kesemua gambar konsisten lebih sejuk (dengan tona warna biru).
Sistem zum boleh mengambil gambar yang baik sehingga 2X sahaja. Apabila mula menyentuh maksimum 10X, imej kelihatan pecah dengan objek hilang ketajaman. Anda boleh lihat sendiri di gambar paling bawah. Tidak disarankan mengambil gambar pada tetapan zum sehingga 10X menggunakan C25s.
Dengan sensor makro 2MP, kualiti gambarnya seperti yang dijangkakan iaitu kurang memuaskan. Pengeluar dari China cukup gemar menggunakan sensor yang bersaiz kecil untuk makro yang kami rasakan tidak masuk akal. Tidak ada satupun gambar menggunakan mod makro kami boleh katakan memenuhi piawaian memuaskan makmal fotografi Amanz.
Realme C25s ialah peranti kelas permulaan mampu milik. Pelbagai pengorbanan dilakukan pada peranti kelas ini dan kemampuan fotografi ialah satu ciri yang palang harapannya perlu diletakkan lebih rendah ketika mengulas. Tetapi kami perlu adil di sini dan jika dibandingkan dengan peranti lain dalam kelasnya, prestasi kamera C25s adalah setanding.
Audio
Hanya speaker mono diletakkan pada bahagian bawah. Ianya lantang tetapi audio menjadi berkecamuk pada tetapan paling tinggi. Kerana sistem mono, pengalaman permainan permua FPS menjadi kurang menarik kerana sukar mendengar arah dari mana musuh datang menyerang. Oleh itu penggunaan fon telinga berwayar adalah kami sarankan kerana masih ada bicu audio 3.5mm. Pengalaman audio adalah sekadar sederhana sahaja.
Bateri
Bateri 6000 mAh menawarkan waktu penggunaan yang amat lama. Secara purata kami berjaya mendapatkan SOT sekitar 10 jam dalam penggunaan sederhana dengan waktu terbaik peranti bertahan lebih 26 jam. Selepas kehabisan bateri, waktu mengecas semula adalah hampir dua jam kerana pengecas yang digunakan hanya berkuasa 18W. Harus kami ingatkan kesemua ujian dilakukan ketika di rumah sahaja kerana PKP menyebabkan ujian lebih realistik bergerak di luar serta bergantung kepada LTE sepenuhnya adalah mustahil. Ini ialah situasi yang tidak dapat kami elakkan pada masa ini.
Kesimpulan
Jika Realme C25s ialah makanan ia mungkin adalah Super Ring. Murah, sedap, manis, dan amat sesuai dimakan ketika menonton filem di kaca TV. Ia tidak mengenyangkan seperti stik daging Wagyu (iPhone 12 Pro Max) atau memenangi anugerah Bintang Michelin (Samsung Galaxy Note20 Pro). Tetapi kita semua tahu Super Ring memang menyasarkan golongan marhaen dan oleh sebab itu ia memenuhi kesemua keperluan marhaen.
Cukup berkuasa untuk aplikasi permua kelas pertengahan, kamera yang elok untuk dimuat naik ke media sosial, skrin yang memuaskan untuk menonton video dan bateri besar yang boleh bertahan dari awal pagi hingga tengah malam. Ia tidak akan memenangi sebarang anugerah peranti terhebat. Dalam masa tiga bulan mungkin ramai akan lupa ia wujud kerana digantikan dengan peranti Realme lain dengan spesifikasi yang sama.
Pada harga RM699, saya merasakan ini ialah peranti yang serasi kegunaan pertama anak-anak. Skrin dan baterinya cukup besar untuk digunakan ketika sesi PdPR sepanjang hari. Untuk mereka yang lebih dewasa dan mahukan sesuatu yang lebih memuaskan, terdapat pilihan lain pada harga yang sedikit lebih tinggi.
Pro
- Skrin besar untuk menonton video dan melayari web.
- Rekaan polikarbonat tahan lasak berbanding kaca.
- Pengimbas cap jari yang pantas.
- Tahap ketahanan bateri yang baik dengan pengecasan 18W USB-C.
- Android 11.
- Bicu audio 3.5mm.
Kontra
- Tatalan terasa kurang lancar kerana pemproses kurang berkuasa.
- Tubuh agak tebal.
- Rekaan lama yang tidak mengikut trend semasa.
- Sebuah lagi peranti bersalin kulit oleh Realme.