Rekaan Samsung Galaxy M32 Diperlihatkan – Menunjukkan Penggunaan Kuad-Kamera Utama

Diterbitkan pada Jun 11, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Samsung kini dilihat dalam persediaan untuk pengenalan sebuah lagi peranti pintar baharu di bawah siri Galaxy M mereka.. Peranti berkenaan adalah Samsung Galaxy M32 dan rekaan fizikalnya kini telah diperlihatkan secara langsung oleh pihak Samsung sendiri menerusi laman web rasmi. Ini menanda bahawa ia bakal diperkenalkan tidak lama lagi – di mana terdapat pihak yang menyasarkan sekitar bulan ini.

Jelas kelihatan, Samsung Galaxy M32 mempunyai kemasan luaran yang sama seperti Samsung Galaxy F62 sebelum ini. Selain itu, ia juga menunjukkan penggunaan sistem kuad-kamera utama pada panel belakangnya – yang diletakkan di dalam sebuah modul kamera berbentuk segi empat. Seterusnya, Samsung Galaxy M32 dilihat mempunyai paparan hadapan dengan rekaan paparan bertakuk kecil untuk kamera swafoto. Saiz bezel juga kelihatan seimbang pada bahagian sisi dan atas skrin. Tetapi tidak bahagian bawah skrin kerana masih terdapatnya dagu yang agak tebal.

Halaman berkenaan hanya memperlihatkan rekaan fizikal peranti sahaja tanpa sebarang informasi lanjut mengenai spesifikasi utama. Namun, spekulasi awal mengatakan Samsung Galaxy M32 akan dilengkapi skrin Super AMOLED dengan kadar segar 90Hz, cip MediaTek Helio G85, bateri 6000mAh dan sensor utama 48-Megepixel. Seperti biasa, penawaran lebih lanjut bakal diketahui selepas ianya diumumkan secara rasmi kelak.

Sumber : Samsung Mobile Press

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami