Cari @ Amanz

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini mengumumkan mereka akan bekerjasama dengan 15 penyedia perkhidmatan telekomunikasi dalam menganjurkan Kempen Kesedaran Pencegahan Jenayah Telekomunikasi.

Kempen ini akan melibatkan kesedaran berkenaan penipuan melalui panggilan telefon dan khidmat SMS yang semakin meningkat pada hari ini, selain penipuan kod TAC.

Kempen ini bakal disertai oleh Altel, Celcom, Digi, Maxis, Merchantrade, PAVOCOMMS, RedONE, RedTone, Time, TM, TuneTalk, U Mobile, Webe, XOX dan YES.

Syarikat telekomunikasi akan berkongsi sejumlah hebahan maklumat untuk mengelak orang ramai menjadi mangsa kepada penipuan yang semakin meningkat akhir-akhir ini.

Fokus kempen kesedaran terbabit akan tertumpu kepada tiga (3) modus operandi Jenayah Telekomunikasi iaitu:

i. Penipuan Panggilan (Vishing) – pemanggil mengaku sebagai pegawai dari badan kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), mahkamah ataupun badan swasta seperti institusi perbankan memberitahu bakal mangsa bahawa mereka mempunyai masalah dengan pihak berkuasa dan kemudiannya memperdaya mangsa untuk mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan mereka.

ii. Penipuan SMS (Smishing) – menghantar teks pesanan kononnya daripada insititusi perbankan dan menyatakan terdapat transaksi perbankan telah dilakukan dan mangsa diminta untuk membuat pengesahan dengan menghubungi nombor talian atau klik pada pautan yang disertakan.

iii. Penipuan Kod Transaksi Pengesahan (TAC) – menghubungi mangsa menggunakan pelbagai medium sebelum meminta nombor TAC, kononnya tersalah memasukkan nombor telefon milik mangsa.

SKMM turut mengatakan kes penipuan berdasarkan rekod PDRM pada 2019 yang lepas adalah sebanyak 5725 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM254,586,210.94 – sementara pada tahun 2020, angka kes meningkat kepada 6003 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM287,301,039.90.

Dengan angka kes yang semakin tinggi, SKMM akan mula melaksanakan kempen kesedaran ini bersama syarikat telekomunikasi tempatan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd