Cari @ Amanz

Apabila Qualcomm memperkenalkan cip pemprosesan mudah-alih Snapdragon 888 mereka pada tahun lepas, ia dilihat sebagai otak peranti mercu yang tidak akan mempunyai tandingan pada tahun ini. Cip pemprosesan ini dilihat menguasakan peranti-peranti seperti ROG Phone 5, ASUS Zenfone 8, Xiaomi Mi 11 Ultra dan sebagainya, dan semua peranti-peranti ini dilihat sebagai peranti mercu jenama masing-masing.

Terkini, ia dilaporkan bahawa Qualcomm sedang dalam proses mengemaskini cip pemprosesan tersebut, dan apa yang lebih menarik lagi ialah mereka nampaknya akan menggunakan proses pembangunan CPU yang lebih baru daripada apa yang digunakan sebelum ini.

Diberikan kod nama SM8450 “Waipio”, SoC Snapdragon kelas mercu terbaru ini akan dibangunkan menggunakan proses 4nm pula, menggabungkan CPU Kryo 780, GPU Adreno 730 dan juga cip pemprosesan imej Spectra 680. Bukan itu sahaja, SoC ini juga dilihat akan menjadi cip pertama yang hadir dengan sokongan untuk memori LPDDR5 dan akan menggunakan modem 5G terbaru Qualcomm, iaitu Snapdragon X65.

Beberapa laporan turut mengatakan bahawa pembangunan SoC ini sudahpun berada pada tahap terakhir, dan akan diperkenalkan pada sejumlah peranti kelas mercu sekitar suku ketiga pada tahun ini. Setakat ini kita tidak mengetahui lagi apakah nama SoC yang akan diperkenalkan oleh Qualcomm ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd