Maklumat Peribadi 3.3 Juta Pelanggan Audi-Volkswagen Di Amerika Syarikat Tertiris Selepas Serangan Siber

Diterbitkan pada Jun 14, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Volkswagen baru-baru ini mengesahkan bahawa salah satu pengedar mereka di Amerika Syarikat telah digodam, dan ini menyebabkan beberapa butiran peribadi 3.3 juta pelanggan mereka telah diambil oleh pihak penggodam ini.

Jurucakap Volkswagen mengatakan bahawa majoriti besar pelanggan-pelanggan ini adalah pelanggan sedia ada dan mereka yang menunjuk minat untuk membeli kereta berjenama Audi. Maklumat yang tertiris ini diambil dari pengkalan data pelanggan yang disimpan dari tahun 2014 sehingga 2019.

Data yang diambil oleh penggodam ini kebanyakannya hanyalah nombor telefon dan juga alamat emel pelanggan, walaupun terdapat pelanggan yang mana butiran seperti kenderaan yang dibeli ataupun ditanya juga diperlihatkan. 95 peratus daripada butiran yang tertiris juga termasuklah nombor lesen kenderaan mereka.

Pihak Volkswagen juga mengatakan bahawa 90 ribu pelanggan Audi yang membeli kenderaan mereka didapati bahawa butiran pembelian dan pajakan mereka telah tertiris. Untuk pelanggan-pelanggan ini, mereka akan diberi perlindungan kredit percuma oleh pihak Volkswagen untuk memastikan mereka tidak tertipu oleh penggodam yang akan cuba untuk mendapatkan wang ataupun pinjaman dengan nama mereka.

Volkswagen berkata terdapat kebarangkalian bahawa data ini telah digodam sejak Ogos 2019 sehinggalah bulan Mei tahun ini apabila pihak Audi-Volkswagen mendapat tahu mengenai kes godaman ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami