Internet Explorer merupakan salah satu pelayar web yang sedia dikenali ramai – memandangkan ia hadir terbina bersama komputer berasaskan Windows sejak bertahun-tahun sebelum ini. Malah, ramai yang mengakses internet pertama kalinya melalui komputer mereka menggunakan pelayar web Internet Explorer.
Namun, perkembangannya agak perlahan, membuatkan ia tidak menyokong pelbagai teknologi web terkini. Menyedari perkara ini, Microsoft sendiri telah beralih dan memfokuskan kepada pelayar web baharu mereka, dinamakan Microsoft Edge.
Terbaru, melalui laman sokongan Microsoft, ia dilihat Internet Explorer akan disokong untuk tempoh setahun lagi, dan ditamatkan sepenuhnya pada 15 Jun 2022 kelak.
Sokongan terakhir adalah Internet Explorer 11, dan kini hanya memfokuskan pengguna di platform Windows 10 sahaja.
Bagi pengguna yang memerlukan akses ke Internet Explorer, pihak Microsoft meminta pengguna untuk menggunakan Microsoft Edge dengan IE Mode – yang mana dijangka akan disokong sehingga 2029 kelak.