MAMPU Menawarkan Hadiah Wang Tunai RM 66,000 Untuk Hackathon CHIPTA 2021

Diterbitkan pada Jun 14, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Meskipun dibawah norma baharu yang menyaksikan kebanyakan acara ditangguh, hackathon dilihat masih popular dan kerap dianjurkan. Tahun ini sahaja menyaksikan beberapa acara hackathon maya berlangsung, dan hari ini MAMPU mengumumkan acara hackathon CHIPTA 2021.

Hackathon CHIPTA ini merupakan singkatan kepada ‘Challenge on Innovation and Problem Solving Through Techology Advancement‘ yang memfokuskan tiga teknologi terkini iaitu pembangunan Aplikasi Mudah Alih, Analitis Data Raya (Big Data), dan Kecerdasan Buatan. Untuk ketiga-tiga ini, peserta wajib menghasilkan inovasi dalam bentuk aplikasi mudah alih.

Pertandingan ini terbuka kepada 4 kategori peserta iaitu dari sektor awam, orang awam atau industri, pelajar institusi pengajian tinggi dan juga pelajar sekolah menengah. Anda boleh menyertainya secara individu, atau secara berkumpulan dengan maksima 4 ahli. Penyertaan telah dibuka bermula hari ini dan peserta akan melalui proses berikut.

  • Pendaftaran: 14 Jun – 9 Julai 2021
  • Penilaian Awal: 12-16 Julai 2021
  • Pengumuman Senarai Pendek: 26 Julai 2021
  • Pembangunan Inovasi: 26 Julai – 25 Ogos 2021
  • Penilaian Akhir: 6 – 8 Sept 2021 

Hackathon ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM 66,000 untuk semua kategori dan juara untuk sektor awam, orang awam/industri dan pelajar institusi pengajian tinggi akan menerima RM 10,000 setiap kategori. Juara pelajar sekolah menengah pula akan menerima wang tunai bernilai RM 3,000. 

Bagi anda yang berminat, layari laman web Hackathon CHIPTA dan muat turun borang pendaftaran dokumentasi Business Model Canvas, serta lebih banyak maklumat lanjut berkenaan proses hackathon ini, dan juga maklumat berkenaan penilaian akhir. 

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami