Cari @ Amanz

Qualcomm, salah satu pengeluar cip terkemuka dunia, kini mengatakan mereka terbuka kepada idea melabur pada ARM sekiranya pengambil-alihan oleh NVIDIA dihalang pihak berkuasa.

Untuk makluman, NVIDIA sebelum ini telah mengumumkan pengambil-alihan ARM pada nilai $40 bilion. Kini, ia sedang melalui proses pengesahan pihak berkuasa – dan terdapat beberapa syarikat sedia menyatakan pengambil-alihan ini tidak sihat untuk industri, dan akan membentuk monopoli dan sebagainya.

ARM merupakan perekabentuk cip dan semikonduktor. Rekaan cip mereka digunakan pada pelbagai peranti mudah-alih hari ini, termasuk oleh Qualcomm, Apple, Samsung dan lain-lain.

CEO Qualcomm dipetik mengatakan Qualcomm akan membeli pegangan pada ARM sekiranya Softbank menyenaraikan syarikat berkenaan pada bursa, berbanding menjualnya kepada NVIDIA.

Dengan langkah berkenaan juga, pelbagai syarikat lain mungkin boleh membentuk konsortium dan mempunyai pegangan pada ARM – yang dilihat lebih sihat untuk industri.

Qualcomm sebelum ini sedia diperkatakan yang mana mereka tidak mempersetujui pengambil-alihan ini kerana akan membuatkan NVIDIA menyimpan beberapa teknologi khusus untuk mereka, dan menghalang yang lain menggunakan IP milik ARM.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd