Pixel Stand adalah pengecas nirwayar tersendiri daripada Google untuk digunakan pada peranti mercu Pixel mereka, bermula dengan Pixel 3. Pengecas ini juga adalah antara pengecas nirwayar dengan piawaian Google untuk Made for Google (MFG, seakan MFI untuk Apple) untuk sokongan mod Ambient yang mengubah peranti menjadi paparan pintar ketika sedang dicas.
Tetapi sayang sekali, kuasa pengecasan pengecas ini hanyalah 10W. Dengan Android 11 dan ke atas, sokongan mod Ambient ini menjadi semakin pintar dengan lebih banyak kawalan. Terkini dalam kod pembinaan Android 12 beta 2, pihak 9to5Google menemui yang Google sedang membangunkan Pixel Stand generasi baharu yang pintar dan juga mempunyai kipas penyejuk.
Lebih menarik, jika pengguna sedang mengecas peranti dengan Pixel Stand baharu ini dan menyeru Google Assistant – kipas tadi boleh terus menjadi senyap. Google juga sedang menyediakan kemampuan mencipta profil seperti untuk kipas berpusing laju, perlahan atau terus berhenti. Pengguna boleh memilih tiga tahap pengecasan ioaitu “Auto,” “Quiet,” dan “Power Boost.” Apa yang tidak pasti adalah, kuasa pengecasan yang akan Google tawarkan.
Jika masih 10W atau 18W, Google mengambil langkah kurang berisiko untuk menjamin kesihatan bateri peranti. Sama-sama kita nantikan.