Samsung Galaxy S22 Plus Dan S22 Dilaporkan Akan Menggunakan Panel Belakang Plastik

Diterbitkan pada Jun 15, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Bahan binaan plastik adalah alternatif kepada kaca, yang seringkali digunakan pada panel belakang sesebuah peranti. Penggunaan plastik boleh mengurangkan kos pembinaan dan peranti boleh dijual pada harga lebih mampu milik. Plastik juga biasanya dilihat digunakan pada peranti kelas pertengahan sahaja. Tetapi dengan perang peranti mercu mampu milik, banyak pengeluar mula menggunakan plastik pada peranti mercu mereka.

Samsung Galaxy S21

Samsung adalah antara pengeluar tersebut. Sejak siri Galaxy S21, Samsung dilihat mula menggunakan plastik pada variasi peranti mercu asas mereka iaitu S21. Manakala S21+ dan S21 Ultra pula menggunakan kaca kedua-dua hadapan da belakang. S20 FE diteruskan dengan penawaran harga lebih murah daripada peranti mercu 2019 dengan binaan plastik. Kini, terdapat dakwaan menyatakan Samsung akan lebih fokus kepada penggunaan bahan binaan plastik pada Galaxy S22.

Sumber menyatakan kedua-dua S22+ dan S22 biasa akan menggunakan panel belakang diperbuat daripada plastik. Hanya S22 Ultra sahaja yang akan menggunakan panel kaca. Bukan itu sahaja, Samsung juga dikatakan akan menggunakan skrin LTPO pada Ultra sahaja dan dua lagi akan menggunakan AMOLED biasa. Tanpa LTPO, sokongan kadar segar semula adaptif perlu bergantung kepada perisian yang mana tidak begitu efisien berbanding skrin yang ada lapisan LTPO.

Tetapi adakah bahan binaan plastik bermakna tidak berkualiti, murahan atau tidak premium? Bergantung kepada kemasan, jika masih boleh memberikan perasaan seakan kaca, kemasan yang sedap dipegang, cantik mata memandang – mungkin tidak menjadi masalah. Majoriti pengguna pun akan menggunakan selongsong untuk perlindungan. Lagi-lagi jika panel belakang kaca yang mudah pecah. Sekurang-kurangnya jika menggunakan plastik, ia sedikit lebih kukuh.

Jika anda inginkan sebuah peranti mercu pada harga lebih mampu milik, haruslah terima pengorbanan yang dilakukan untuk dijual pada harga yang semua mampu. Tukar kaca ke plastik atau buang ciri peranti mercu, mana satukah pilihan anda? Siri Galaxy S22 dikatakan akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini. Sama-sama kita nantikan.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami