Pengasas Web Kini Menawarkan Kod Sumber WWW Secara NFT

Diterbitkan pada Jun 15, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tim Berners-Lee merupakan pengasas kepada dunia web moden, dan telah hadir dengan WWW (World Wide Web) pada 1989 yang lepas. Terbaru, ia diumumkan yang mana kod sumber untuk pembangunan projek berkenaan akan dilelong secara NFT pada penghujung bulan ini.

Lelongan ini akan dikendalikan oleh Sotheby pada 23 Jun sehingga 30 Jun, dengan bidaan permulaan $1000. Dana yang dikumpulkan akan disalurkan kepada inisiatif Sir Tim & Lady Berners-Lee.

Sir Tim Berners-Lee (melalui Sotheby)

NFT seperti semua sedia maklum, merupakan salah satu bentuk yang unik dalam mengesahkan hak milik untuk aset digital, menggunakan teknologi rantaian-blok – tetapi tidak semestinya menyertakan kawalan hak cipta.

NFT ini kelak akan menyertakan empat elemen di dalamnya, termasuk untuk fail yang mempunyai kod sumber, visual bergeerak untuk hampir 10,000 baris kod, sebuah surat yang ditulis oleh Sir Tim dalam proses pembangunan kod, dan juga sebuah poster kod penuh  yang dibangunkan oleh Sir Tim berasaskan Python.

WorldWideWeb merupakan aplikasi pertama berbentuk pelayar, yang membolehkan orang ramai untuk mencipta dan melayari pautan antara rangkaian atau komputer. Ia dibangunkan menggunakan Objective C, dan menggunakan antaramuka Builder pada komputer NeXT. Kini, tiga dekad selepas pengenalannya, dunia web mempunyai lebih 1.7 bilion laman web yang diakses oleh 4.6 bilion pengguna di seluruh dunia.

Bagi anda yang berminat, boleh tandakan kalendar anda 23 Jun sehingga 30 Jun ini, dan membuat bidaan dalam mendapatkan NFT bersejarah ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami