Ulasan Garmin Venu 2S – Yang Mahal Itu Belum Tentu Sempurna

Diterbitkan pada Jun 18, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Seiring dengan peredaran masa, trend penggunaan jam tangan pintar kini semakin mendapat tempat di hati para pengguna. Malah, ia juga tidak lagi terhad sebagai penunjuk masa semata-mata. Sebaliknya, ia turut memiliki keistimewaan yang pelbagai dan menarik. Misalnya, kebolehan memantau tahap kesihatan, memudahkan aktiviti harian dan lain-lain. Kita juga boleh menyifatkan kepentingannya amat bertepatan dan bersesuaian dengan situasi sekarang yang memaksa orang ramai untuk menukar gaya hidup. Maka, menjadi tanggungjawab masing-masing untuk memastikan kesihatan diri berada dalam keadaan baik.

Garmin Venu 2S

Sehingga kini, kita sendiri boleh lihat pelbagai jenis jam tangan pintar yang terdapat di pasaran. Jika diteliti, penawaran harganya juga adalah berbeza mengikut jenis material serta fungsi masing-masing. Di Malaysia, antara salah satu jenama jam pintar yang terkenal adalah Garmin. Jenama ini juga telah hadir dengan pelbagai variasi model dan siri jam tangan pintar yang menarik – termasuklah siri Garmin Venu. Perubahan gaya hidup juga mendorong Garmin untuk menghasilkan siri jam tangan yang tidak lagi sekadar mempunyai ciri-ciri kecergasan. Tetapi, ia turut mempunyai fesyen yang baik untuk memenuhi kehendak semasa. Maka oleh sebab itulah terhasilnya siri Garmin Venu.

Skrin Bersaiz 1.1-Inci

Baru-baru ini, Garmin telah melancarkan dua produk terbaru di bawah siri berkenaan iaitu Garmin Venu 2 dan Garmin Venu 2S. Di Malaysia, kedua-duanya ditawarkan pada harga RM1,799 untuk seunit. Namun begitu, artikel ulasan ini hanya akan memfokuskan kepada satu model sahaja iaitu Garmin Venu 2S. Saya telah diberi peluang untuk mencubanya selama beberapa minggu bagi melihat sendiri kemampuan jam tangan ini. Mampukah ia memenuhi keperluan harian anda? Mari kita lihat!


Spesifikasi Ringkas Peranti :

SPESIFIKASIGARMIN VENU 2S
JenisJam tangan dengan penjejak kesihatan
Paparan1.1-inci (27.9 mm) AMOLED
360 x 360 pixels
Pemproses
Muatan Dalaman
BateriMod tangan pintar : sehingga 10 hari
Mod penjimatan bateri : sehingga 11 hari
Mod muzik tanpa GPS : sehingga 19 jam
Mod muzik & GPS : sehingga 7 jam
SIM/TelefoniTidak
SensorGPS, GLONASS, GALILEO, Accelerometer, Thermometer, Ambient Light, Pulse OX
NFCYa
InframerahTidak
Tahap Ketahanan5 ATM
Diameter40.4 x 40.4 x 12.1 mm
Warna White & Graphite
Harga JualanRM1,799

Rekaan Fizikal

Sebelum pergi lebih jauh, perlu diakui ini merupakan pengalaman pertama saya menggunakan jam tangan keluaran Garmin. Sudah pastinya, pengalaman peribadi saya akan berbeza dengan mana-mana pihak. Saya sempat membuat sedikit pembacaan untuk ketahui serba sedikit mengenai model-model yang sebelumnya – baik dari segi dalaman mahupun luaran. Baiklah, mari kita teruskan artikel ulasan.

Muka Jam Berbentuk Bulat

Sama seperti generasi sebelumnya, Garmin Venu 2S masih lagi mengekalkan susunan dan reka bentuk klasik yang mirip dengannya. Dalam erti kata mudah, rekaannya seakan-akan jam tangan biasa. Biarpun begitu, ianya masih sesuai, relevan dan mampu menepati trend semasa. Malah, rekaan yang tidak terlalu sporty menjadikannya sesuai sahaja dipakai oleh wanita mahupun lelaki. Gamin Venu 2S menggunakan muka jam berbentuk bulat dua butang fizikal yang terbina pada sisi kanan. Skrinnya bersaiz 1.1-inci AMOLED dengan tubuh sebesar 40mm. Resolusi yang digunakan adalah 360 x 360 piksel dan paparannya juga lengkap dengan Corning Gorilla Glass 3 untuk mengekalkan rupa paras yang baik. Sistem navigasi turut bergantung kepada sokongan sesentuh di skrin.

Tali Jam Silikon Dengan Cangkuk Standard

Garmin Venu 2S merupakan jam tangan yang ringan dan selesa dipakai sepanjang hari. Terima kasih kepada beratnya yang sekitar 38.2 gram dan tubuh yang diperbuat daripada polikarbonat. Bezelnya pula diperbuat daripada keluli tahan karat dengan sedikit corak bergaris berwarna perak. Bagian talinya pula menggunakan bahan silikon lembut bersama cangkuk jenis standard. Talinya juga standard dan boleh ditukar ganti dengan mudah. Sebarang tali jam bersaiz 18mm di pasaran boleh digunakan sekiranya tali sedia ada tidak memenuhi citarasa.

Hanya sepasang tali jam disertakan yang direka khusus buat individu yang mempunyai saiz pergelangan tangan yang kecil atau sederhana. Jika sebaliknya, ia akan nampak pelik dan janggal. Pada hemat saya, Garmin Venu 2S sebenarnya akan lebih menarik perhatian kaum Hawa berbanding Adam. Saya berkata sebegini sebab koleksi berkenaan menggunakan pelbagai rekaan dan rona warna yang mampu menyerlahkan lagi gaya feminin si pemakai.

Dua Butang Fizikal Pada Sisi Kanan

Seterusnya, anda akan temui dua butang fizikal yang berfungsi sebagai kawalan untuk kembali dan mengakses aplikasi. Kedua-duanya diperbuat daripada logam dengan tekstur yang licin. Butang bahagian atas digunakan untuk kawalan ciri dan fungsi pada jam – termasuklah mod sukan yang disokong. Kemudian, menekan butang yang sama untuk sekitar beberapa saat pula akan membawa anda kepada kawalan menu pintas. Butang di bawah pula digunakan untuk kembali ke menu asal dan akses kepada beberapa tetapan utama jika ditekan lebih lama.

Kawalan Menu Pintas

Seperti yang dikatakan tadi, pengalaman peribadi saya mungkin berbeza dengan yang lain. Pada awalnya, saya mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan butang-butang ini. Sehinggakan adakalanya, saya juga kerap kali tersalah tekan butang dan berasa agak sukar untuk mempelajarinya. Ini mungkin disebabkan saya masih belum sepenuhnya terbiasa. Namun begitu, lama-kelamaan keadaan ini berubah. Malah, saya sudah mula terbiasa memandangkan begitu kerap menggunakannya hampir sepanjang hari. Ianya juga seronok untuk digunakan termasuklah sewaktu tidur. Cuma binaan butangnya masih menerima sedikit reaksi negatif daripada saya. Ianya terasa kurang memuaskan.

Sensor Pengimbas Nadi

Mengapa saya membawanya tidur? Sebabnya, Garmin Venu 2S mempunyai ciri pengesanan pola tidur yang berfungsi secara automatik. Dah alang-alang bercakap mengenainya, Garmin Venu 2S juga mempunyai beberapa lagi fungsi lain seperti pemantauan untuk tapak, denyutan nadi, paras ketepuan oksigen darah, paras pernafasan, tahap tenaga badan, tahap tekanan, pengambilan air harian, kitaran haid wanita dan lain-lain. Pusing sahaja ke belakang jam tangan, di sini anda akan jumpa sensor pengimbas nadi dan port pengecasan dengan dari jenis yang tersendiri.


Antaramuka & Sistem Kawalan

Garmin Venu 2S mempunyai sistem operasi yang tersendiri. Rekaan antara muka nampak kemas tetapi sedikit rumit untuk digunakan. Ya, itulah hakikatnya dan ia juga pengalaman peribadi saya. Kadang-kala berlaku suatu keadaan yang menyukarkan saya untuk mencari ciri dan fungsi tertentu. Ini tidaklah bermaksud kesemuanya tetapi hanya sebahagian sahaja. Tapi apa paling penting, setiap elemen yang dipaparkan masih boleh dibaca dengan mudah walaupun pada skrin yang kecil.

Antara Mod Sukan Disokong

Dari muka utama, tatalan ke atas & bawah akan memberi akses kepada sejumlah aplikasi terpasang – seperti penjejak kesihatan, mod sukan yang disokong, pemain muzik, cuaca, kalendar dan banyak lagi. Apa yang dipaparkan di sini bukanlah satu senarai yang tetap. Sebaliknya, anda bebas sahaja untuk meletakkan aplikasi yang dimahukan mengikut keperluan peribadi. Kembali ke muka utama, tatalan ke kiri pula akan memberi akses kepada ciri Garmin Pay terbina. Melaluinya, proses pembayaran nirtunai boleh dibuat tetapi malang sekali saya tidak pula mengujinya. Garmin Venu 2S juga boleh digunakan pada peranti Android dan iOS. Namun begitu, terdapat sedikit kekangan kecil padanya.

Balasan Teks Ringkas

Di mana, Garmin Venu 2S sememangnya menyokong pemberitahuan pintar untuk notifikasi atau panggilan masuk. Ini termasuklah sejumlah notifikasi daripada pelbagai jenis aplikasi seperti WhatsApp, Telegram, Gmail, Facebook dan lain-lain. Setiap pemberitahuan notifikasi ini boleh ditetapkan menerusi tetapan pada aplikasi Garmin Connect. Ia juga mempunyai kebolehan membalas menggunakan teks ringkas – seperti ya, tidak, okay dan banyak lagi. Tetapi, kebolehan ini hanya terhad kepada peranti Android sahaja.

Untuk peranti iOS, notifikasi hanya boleh dibaca tanpa sebarang kebolehan untuk membalas. Selain daripada itu, Garmin Venu 2S juga tidak didatangkan dengan sebarang pembantu maya terbina, pembesar suara mahupun mikrofon. Ini sekaligus menjadikan Garmin Venu 2S tiada kebolehan untuk membuat atau menjawab panggilan terus daripada jam tangan. Sebaliknya, ia hanya boleh dijawab menerusi peranti pintar yang disambungkan.

Notifikasi Panggilan Masuk

Seterusnya, terdapat beberapa pilihan muka jam yang didatangkan secara terbina pada jam tangan. Maklumat yang dipaparkan pada muka jam bergantung kepada apa yang dipilih. Setiap satu muka jam ini boleh diubah suai mengikut pilihan gaya masing-masing – termasuklah tetapan animasi bergerak, paparan analog atau digital, pengubahsuaian warna, data yang ingin dipaparkan dan lain-lain. Untuk pilihan yang lebih pelbagai, ia boleh diakses dan dimuat turun menerusi aplikasi Connect IQ. Malah, memuat naik gambar sendiri untuk dijadikan paparan pada muka jam juga boleh sahaja.

Pilihan Antaramuka Jam Di Aplikasi Connect IQ

Aplikasi Sambungan

Kalau perasan, saya ada menyebut mengenai beberapa aplikasi sambungan dalam beberapa perenggan di atas. Ya! Aplikasi Garmin Connect dan Connect IQ perlu dipasang pada peranti pintar terlebih dahulu untuk pengalaman penggunaan Garmin Venu 2S yang lebih menyeluruh. Rekaan antara muka pada kedua-dua aplikasi kelihatan baik dan kemas dengan susunan ikon teratur. Ia mudah digunakan dengan meletakkan segala data merangkumi nombor yang anda perlukan. Antaramuka aplikasi pada peranti Android dan iOS adalah sama.

Pelbagai fungsi utama pada Garmin Venu 2S boleh diakses dan dikawal terus daripada papan pemuka di aplikasi Garmin Connect. Melaluinya, segala aktiviti harian dipantau dengan menyeluruh dan jumlah data penting yang dikumpul juga cukup terperinci – termasuklah secara harian, mingguan, bulanan dan tahunan. Ia kemudiannya dipersembahkan secara visual dalam beberapa bentuk seperti graf bar, gambar rajah, jadual ringkas dan lain-lain. Di samping itu, ia dilihat turut membandingkan statistik capaian semasa dengan data terkumpul sedia yang boleh jadikan rujukan buat anda.

Kebanyakan tetapan penting juga boleh dilakukan menerusi aplikasi – seperti mengaktifkan ciri pengesanan jatuh (sistem SOS). Dimana, ciri yang membolehkan notifikasi kecemasan dihantar kepada insan terdekat untuk makluman bantuan sekiranya berlaku sebarang tindak balas jatuh dikesan. Seterusnya, fungsi LiveTrack yang membolehkan perkongsian lokasi atau laluan larian masa nyata bersama insan terdekat seperti. Kemudian, tetapan ‘Training Plans’ yang berfungsi sebagai jurulatih maya bagi membantu latihan sukan lebih baik.

Aplikasi Connect IQ

Di sini, ia merangkumi sebanyak dua jenis sukan iaitu larian dan berbasikal dengan pilihan jarak berbeza seperti 5 kilometer, 10 kilometer dan sebagainya. Lain-lain tetapan termasuklah – penjejakan tempoh kitaran haid khusus buat wanita, muat-turun sesi latihan terus daripada peranti pintar dan banyak lagi. Seterusnya, aplikasi Connect IQ pula merupakan gedung aplikasi yang membolehkan anda memasang sejumlah aplikasi tambahan, widget atau muka jam tersuai.


Pengalaman Penggunaan

Pengalaman menggunakan Garmin Venu 2S terasa baik dan menyeronokkan. Biarkan pada awalnya, saya mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri. Tetapi, kini saya mula terbiasa dengan sokongan ciri dan fungsi pada jam tangan ini Garmin Venu 2S mempunyai skrin yang baik. Ianya terang, tajam dan jelas. Setiap kandungan yang terpapar seperti ikon, nombor, graf dan lain-lain boleh dilihat dengan jelas – termasuk sewaktu saya menggunakannya secara outdoor. Prestasi kawalan juga sesentuh baik-baik sahaja. Cuma kadang-kala saya perasan ada berlakunya sedikit masalah lengah masa ketika tatalan dibuat. Ia bagaimanapun, masih boleh diterima kerana ia tidaklah sehingga menyebabkan masalah teruk sehingga langsung tidak boleh diakses.

Skrin AMOLED Yang Cukup Baik

Disebabkan oleh kekangan dan halangan pergerakan berikutan pelaksanaan PKP ketika ini. Kebanyakan aktiviti yang saya lakukan adalah berasaskan indoor seperti Yoga, latihan sukan terbina yang dimuat-turun terus daripada aplikasi dan sewaktu dengannya. Setiap langkah yang dibuat akan direkod termasuklah setiap kali saya berjalan, menaiki mahupun menuruni tangga di dalam rumah. Cuma seperkara yang saya perasan, tetapan untuk GPS agak mengambil masa yang agak lama untuk mengunci sesebuah lokasi.

Situasi yang berlaku sedikit sebanyak menimbulkan perasaan kurang senang pada saya. Bukan itu sahaja, saya juga ada perasan kadang-kala bacaan data yang terkumpul ada ketikanya kurang tepat. Ini termasuklah ciri mengesan pola tidur. Pernah sekali, Garmin Venu 2S menyatakan saya tidur hampir 14 jam lamanya. Sedangkan, saya tidak memakai jam ini ketika tidur pada hari berkenaan. Pada hemat saya, ini adalah kurang munasabah.

Tetapan Untuk GPS Kunci Lokasi

Hayat Bateri

Garmin Venu 2S diiklankan mampu bertahan sehingga 10 hari pada mod jam tangan pintar. Ia kemudiannya, boleh meningkat kepada 11 hari apabila mode penjimatan bateri diaktifkan dan mencecah 19 jam untuk mod penggunaan muzik tanpa pengaktifan GPS. Jika anda mengaktifkan GPS ketika mendengar muzik, ketahanannya akan berkurang menjadi 7 jam sahaja. Pengalaman peribadi saya ternyata jauh berbeza dengan apa yang diiklankan oleh Garmin ini.

Proses Pengecasan Dengan Port Jenis Tersendiri

Pada penggunaan saya, Garmin Venu 2S hanya mampu bertahan mencapai 4 hari dengan bateri berbaki 4%. Ini termasuklah, saya menggunakannya untuk pelbagai fungsi sedia ada dengan sambungan pada telefon pintar secara berterusan. Proses pengecasan semula boleh dibuat menggunakan port pengecasan yang dari jenis tersendiri. Bagusnya proses pengecasan ini, ia menawarkan masa pengecasan yang pantas sekitar 1 jam dan 25 minit.


Pesaing

Garmin Venu 2sSamsung Galaxy Watch3Apple Watch Series 6 (40mm)
1.1″ AMOLED, 360 x 360 pixel,
Sesentuh
1.4″ SAMOLED, 360 x 360 pixel,
Sesentuh
1.57″ LTPO OLED, 324 x 394 pixel,Sesentuh
?Exynos 990
Dua Teras
Apple S6 SiP
Dua Teras
?GPU Mali-T720GPU Power VR
?1 GB RAM1 GB RAM
?Storan 8GB
Storan 32 GB
Tiada panggilan telefonSokong panggilan telefonSokong panggilan telefon
Pengimbas nadi, barometer, accelerometer, GPS, SpO2Pengimbas nadi, barometer, accelerometer, GPS, SpO2,Pengimbas nadi, barometer, accelerometer, GPS, SpO2,
Tiada EKGEKGEKG
Pemain MP3Pemain MP3Pemain Mp3
IP68MIL-STD-810GIP68
? mAh340 mAh303 mAh
Harga RM 1799Harga RM1299Harga RM1749

Kesimpulan

Tidak dinafikan, Garmin Venu 2S adalah jam tangan yang hebat – terutamanya untuk bersukan. Rekaannya yang menarik dengan skrin sentuh berwarna-warni turut menjadikannya seronok untuk digunakan. Garmin Venu 2S juga jam untuk semua. Apa maksud saya di sini? Dengan rekaan yang tidak kelihatan terlalu sporty, ia memberikan kebebasan kepada sesiapa sahaja yang ingin memilikinya.

Namun begitu, anda perlu tahu bahawa tiada kepentingan untuk memilikinya sekiranya anda bukan dalam kalangan yang kerap bersenam. Sebabnya, ia hanya akan merugikan. Mengapa? Garmin Venu 2S mempunyai pelbagai mod sukan terbina yang baik – misalnya larian, yoga dan banyak lagi. Jika anda membelinya sekadar disebabkan oleh rekaan fizikal, bukankah anda sudah rugi fungsi utama sebenar jam tangan ini?

Samsung Galaxy Watch 3

Seterusnya, ia juga baik kerana membolehkan sokongan aplikasi tambahan. Tetapi, ianya agak terhad kerana kebanyakan aplikasi yang ditawarkan pada Connect IQ Store lebih memfokuskan muzik, muka jam dan kesihatan sahaja. Seperkara lagi, harganya yang agak koyak poket di sini pada hemat saya tidak setanding dengan fungsi yang ditawarkan. Ia masih tidak cukup pintar. Dengan harga yang sama, anda boleh mendapatkan Samsung Galaxy Watch 3 yang lebih baik dan efisien.


PRO

  • Rekaan baik sesuai dengan trend semasa.
  • Skrin yang baik, jelas dan terang.
  • Kemampuan kalis air sehingga 50 meter.
  • Terdapat sokongan aplikasi tambahan.
  • Sokongan aplikasi yang baik pada Android dan iOS.

KONTRA

  • Kawalan pada aplikasi sukar digunakan.
  • Antaramuka kurang mesra pengguna.
  • Bateri sekadar memadai.
  • Terdapat masalah lengah masa untuk keadaan tertentu.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami