Cari @ Amanz

Untuk sesetengah pembangun PC, diantara aspek yang diberikan penekanan paling penting ialah kebolehan sesebuah sistem penyejukan untuk mengalirkan haba secara senyap. Kebanyakan sistem penyejukan CPU khususnya hadir dengan kipas untuk mengalirkan haba daripada bongkah CPU untuk memastikan sistem berfungsi secara optimum.

Noctua baru-baru ini telah memperkenalkan bongkah penyejukan CPU pasif mereka yang pertama, yang mana ia tidak memerlukan sebarang kipas penyejuk untuk mengalirkan haba daripada komponen. Penyejuk ini, yang dinamakan Noctua NH-P1 menggunakan bongkah aluminum untuk menyerap haba daripada CPU.

Menyejukkan CPU tanpa menggunakan kipas, khususnya untuk sebuah komputer moden adalah sesuatu yang perlu diuji dengan cukup mendalam sekali, dan oleh itu, Noctua juga telah mengeluarkan sebuah video dan senarai model CPU yang boleh digunakan bersama-sama dengan penyejuk ini. Salah satu CPU paling baru yang dilihat digunakan bersama-sama dengan penyejuk ini ialah Intel Core i9-11900K yang boleh dilewahjam.

Menurut Noctua, semua papan induk Intel dengan soket LGA 1200 dan AMD dengan soket AM4 boleh disokong oleh penyejuk ini. Akan tetapi, Noctua menyarankan pengguna untuk hanya menggunakan penyejuk ini dengan papan induk bersaiz ATX untuk mengurangkan kebarangkalian komponen-komponen lain seperti memori, SSD dan kad grafik menjadi terlalu panas kerana sistem penyejukan konveksyen yang digunakan.

Dalam pada itu, ia juga adalah untuk memastikan papan induk anda boleh menampung berat bongkah penyejuk CPU ini, yang mana ia dilaporkan adalah seberat 1.2kg.

Bagi mereka yang ingin meningkatkan prestasi lewahjam menggunakan penyejuk ini, Noctua turut memperkenalkan kipas penyejuk NF-A12x25 LS-PWM untuk membina komputer dengan penyejukan separa pasif khususnya mereka yang gemar melakukan aktiviti lewahjam dan masih mahukan prestasi yang lebih berkuasa.

Noctua mengatakan bahawa penyejuk pasif Noctua NH-P1 ini sudahpun mula dijual di pasaran-pasaran terpilih pada harga $110 (~RM440).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd