Cari @ Amanz

Masa depan dunia automotif ialah kenderaan berkuasa elektrik. Bukan sahaja ia lebih mesra alam tetapi boleh menawarkan kuasa yang lebih tinggi. Contoh terbaik ialah Tesla Model S Plaid kini memegang rekod kereta produksi dengan pecutan terpantas walaupun ia sebuah kereta sedan untuk keluarga. Namun kenderaan kuasa elektrik menggunakan bateri (BEV) mempunyai kekurangan kerana jarak perjalanan yang terhad dan masa pengecasan yang lama.

Oleh itu kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen (FCEV) ialah alternatif yang giat dibangunkan. Jaguar Land Rover kini sedang membangunkan prototaip Defender FCEV yang menggunakan sel hidrogen serta kuasa bateri. Kombinasi ini akan membolehkan sebuah kenderaan elektrik yang layak menggunakan nama Jaguar Land Rover dipasarkan dengan kemampuan jalan lasak, menarik beban dan jarak perjalanan yang setanding dengan model berkuasa bahan api fosil semasa. Kelebihan sel hidrogen yang lain ialah bahan api boleh diisi dengan lebih pantas serta tiada perubahan prestasi apabila cuaca sejuk seperti kenderaan BEV.

Dalam imej konsep yang dikongsi, Defender FCEV dilengkapi dua tangki bahan api hidrogen dan satu pek bateri. Motor elektrik diletakkan di bahagian hadapan. Secara luaran tiada beza dapat dilihat antara kenderaan ini dengan moden biasa. Masih tiada maklumat bilakan Defender FCEV akan dipasarkan kerana ujian hanya akan dimulakan tahun ini.

Selain Jaguar Land Rover, syarikat Renault, BMW, Honda, Toyota dan Ninebot Segway juga mempunyai strategi kenderaan FCEV tersendiri. Dalam masa satu generasi sahaja stesen minyak mungkin akan digantikan dengabn stesen hidrogen.

Sumber Jaguar Land Rover

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd