Cari @ Amanz

5G boleh dikatakan diantara teknologi telekomunikasi yang paling hangat dibicarakan sekarang, dari segi infrastruktur, pelan pengguna dan juga peranti. Menurut Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita dijangka akan dapat mula menikmati teknologi ini pada penghujung tahun ini, dengan peranti-peranti yang menyokong rangkaian baru ini sudahpun banyak membanjiri pasaran.

Ericsson, syarikat pembekal perkakasan telekomunikasi baru-baru ini menjangkakan bahawa jumlah pelanggan rangkaian 5G akan meningkat sehingga 580 juta pengguna pada penghujung tahun 2022, dan akan meningkat lebih tinggi lagi kepada 3.5 bilion pengguna di seluruh dunia pada tahun 2026.

Di beberapa negara, seperti Amerika Syarikat, China, Korea Selatan dan Jepun, teknologi 5G ini dilihat sudahpun ditawarkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi, dan penyebaran rangkaian tersebut akan dipercepatkan lagi di negara-negara ini, manakala negara lain semuanya sudahpun boleh dikatakan dalam proses untuk mengimplementasi rangkaian tersebut.

Pada penghujung tahun lepas, Ericsson mengatakan bahawa setakat ini, seramai 220 juta langganan rangkaian 5G global telah dicatatkan, dan nilai tersebut akan meningkat kepada 580 juta seperti yang dikatakan sebelum ini. Negara dengan jumlah langganan yang tertinggi setakat ini ialah China dan diikuti Amerika Syarikat.

Akan tetapi Ericsson mengatakan bahawa Amerika Syarikat akan hadir dengan jumlah langganan rangkaian 5G tertinggi di dunia menjelang tahun 2026 nanti, khususnya kerana betapa pesatnya pembangunan rangkaian tersebut yang akan dijalankan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi di negara itu.

Di Malaysia, pelan untuk membangunkan rangkaian 5G di beberapa lokasi terpilih seperti Lembah Kelang dan Pulau Pinang sudahpun mula beroperasi bersama-sama dengan penambahbaikan rangkaian 4G di seluruh negara yang menjanjikan bahawa 99 peratus daripada rakyat Malaysia akan dapat menikmati kelajuan internet yang pantas menjelang 2022 kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd