Carian
OnePlus Bergabung Dibawah Oppo – Akan Terus Kekal Menawarkan Produk Dibawah Jenama OnePlus
June 16, 2021 Aman

Rahsia OnePlus dan Oppo dibawah satu organisasi bukan sesuatu yang asing lagi. Hari ini, Pete Lau mengumumkan secara rasminya yang mana kini OnePlus akan beroperasi dibawah jenama Oppo.

Langkah ini selari dengan CEO OnePlus, Pete Lau yang telah mengambil jawatan untuk turut menguruskan pembangunan produk OnePlus dan Oppo sejak tahun lepas. Dengan beroperasi dibawah satu organisasi, langkah berkenaan dapat dilakukan dengan lebih efisien.

Antara yang akan dilakukan, adalah termasuk menyatukan pasukan pembangunan dan perisian, selain menjanjikan kemaskini perisian dengan lebih pantas.

Integrasi ini juga dikatakan akan membolehkan OnePlus mempunyai sumber yang lebih meluas – kerana turut boleh menggunakan kepakaran pasukan Oppo.

Apa pun, pada masa yang sama, Pete Lau mengatakan jenama OnePlus akan terus beroperasi secara kendiri, dan akan menawarkan produk OnePlus baharu seperti biasa. Integrasi dan gabungan dilihat adalah pada peringkat pembangunan, sementara pemasaran adalah kekal seperti jenama OnePlus pada hari ini.

Walaupun pengumuman ini sedia dijangka ramai, namun ia masih mengekalkan pengguna dengan sejumlah persoalan. Adakah OnePlus akan beralih menggunakan ColorOS? Adakah rekaan peranti akan menyerupai antara satu sama lain? Dan pelbagai persoalan lagi yang masih tidak terjawab buat masa ini.

Komen