Cari @ Amanz

Pernah suatu ketika aplikasi berbeza digunakan untuk tujuan berlainan. YouTube untuk video, Spotify untuk muzik dan Facebook untuk membaca teori konspirasi terkini dari abang saudara yang sekadar lulus SRP. Tetapi kini kesemua platform ingin menawarkan semua jenis hiburan secara setempat. Bermula 22 Jun ini, pemilik podcast akan diberikan pilihan memaparkan tambatan ke rancangan mereka di Facebook.

Menurut laporan The Verge, Facebook mula menghubungi pemilik podcast untuk mengumumkan ciri ini. Apabila diaktifkan, podcast akan ditarik terus dari RSS untuk dipaparkan terus pada profil atau page yang dimiliki oleh pengguna. Siaran podcast kemudiannya boleh didengari terus dari dalam aplikasi Facebook.

Dengan pemberian secara setempat, pengguna tidak perlu keluar dari aplikasi. Selain podcast, Facebook juga telah mula menguji Live Audio Room dengan ciri seakan Clubhouse mereka minggu ini. Sebagai platform media sosial nombor satu dunia, Facebook cepat berinovasi dengan memperkenalkan ciri yang dipopularkan aplikasi lain.

Sumber The Verge

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd