Kehadiran lambakan aplikasi berkonsepkan gaya hidup Muslim komprehensif terbukti memudahkan urusan harian pengguna. Terutamanya umat Islam bagi mendapatkan sebarang maklumat yang tepat dan mutakhir berkaitan ibadah. Antara aplikasi gaya hidup muslim yang mendapat perhatian ramai ketika ini adalah The NoorApp, Qalby App, Iman Pro dan banyak lagi.
Dalam perkembangan terkini, salah satu syarikat telekomunikasi tempatan iaitu Celcom turut sama hadir dengan aplikasi yang berkonsep sedemikian menerusi pengenalan Noor. Sama seperti sejumlah aplikasi gaya hidup muslim yang lain, ia juga menyediakan akses mudah kepada sejumlah informasi – termasuklah pemberitahuan waktu solat, himpunan doa, hadis & ayat al-Quran, petunjuk arah kiblat, tasbih dan banyak lagi. Selain itu, ia juga menyokong sehingga 3 bahasa utama seperti Melayu, Inggeris dan Benggala. Apa yang menariknya lagi, aplikasi ini bebas iklan di mana tiada langsung iklan yang akan menganggu kandungan.
Difahamkan, aplikasi ini boleh dimuat-turun secara percuma oleh semua pengguna. Namun begitu, akses percuma ini hanya terhad untuk beberapa ciri sahaja – seperti pemberitahuan waktu solat, petunjuk arah kiblat, koleksi doa dan lain-lain. Untuk lebih pilihan, terdapat juga langganan premium dengan harga RM5/minggu atau RM20/bulan untuk akses kepada beberapa ciri yang premium – seperti restoran halal terdekat, nama bayi muslim, Azan, kalendar Islam, pembelajaran doa, maklumat haji dan lain-lain.
Usah risau, anda juga masih boleh menghentikan langgan premium ini dengan beberapa langkah mudah sekiranya sudah tidak berminat untuk meneruskannya. Setakat artikel ini ditulis, aplikasi Noor hanya tersedia untuk peranti Android sahaja menerusi Google Play Store.
Sumber : Celcom