Kad Grafik Intel Xe DG-1 Keluaran ASUS Diuji – Hadir Dengan Prestasi Sebuah Kad Grafik Tahun 2013

Diterbitkan pada Jun 18, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Seperti yang sedia maklum, Intel dilihat sedang membangunkan siri kad grafik mereka sendiri untuk menandingi syarikat-syarikat seperti AMD dan NVIDIA untuk memecahkan duopoli yang dipegang mereka untuk sekian lamanya.

Baru-baru ini, ia telah dilaporkan bahawa kad grafik asas pertama keluaran Intel, Intel Xe DG-1 telah dibangunkan bersama-sama ASUS, yang diberikan nama ASUS DG-1, yang dimuatkan didalam sebuah komputer desktop ASUS yang sudahpun siap dipasang.

Secara teknikalnya walaupun kad grafik ini sudah hadir ke pasaran, ia tidak boleh dibeli kerana menurut Intel, kad grafik ini hanya disokong pada sejumlah kecil model papan induk, dan salah satu daripadanya ialah komputer yang dipasang oleh CyberPower.

Menurut ETA Prime, pembeli sistem ini, komputer tersebut hadir dengan spesifikasi Intel Core i7-11400F dengan papan induk ASUS PRIME H410M-A/CSM, salah satu daripada dua papan induk yang ada di pasaran yang boleh menyokong kad grafik ASUS DG-1 ini.

Dari segi spesifikasi kad grafik ini pula, ia dilengkapi dengan 80 unit pemprosesan (Execution Units) dan menggunakan memori LPDDR4X sebanyak 4GB dan mempunyai TDP serendah 30W dan menggunakan sambungan PCIe 4.0.

Berdasarkan ujian penanda-aras yang dilakukan oleh beliau, ia dapat diperlihatkan bahawa kad grafik tersebut mempunyai skor penanda-aras sebuah kad grafik NVIDIA GeForce GTX 760, yang dilancarkan pada tahun 2013.

Walaupun begitu, kad grafik ini mendapatkan skor tersebut dengan menggunakan kuasa enam kali lebih sedikit berbanding dengan kad grafik tersebut, malah telah memperlihatkan kebolehan untuk menggerakkan permainan-permainan moden seperti Cyberpunk 2077 pada resolusi Full HD dengan tetapan rendah dan pertengahan pada kadar segar semula mirip sebuah konsol permainan.

Setakat ini ia masih tidak diketahui lagi jika Intel mempunyai sebarang pelan untuk memperkenalkan kad grafik ini kepada pasaran pembina komputer ataupun tidak.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami