Carian
Beberapa Peranti Kelas Premium Xiaomi Akan Hadir Dengan Teknologi Kamera Swafoto Dibawah Paparan
June 21, 2021 Nazrin

Xiaomi dilihat sebagai salah satu jenama peranti pintar yang menggabungkan spesifikasi berkuasa, rekaan tampan dan harga yang berpatutan yang menjadikannya salah satu daripada nama yang cukup terkenal sekali dalam industri elektronik pengguna.

GizChina, melalui ITHOME laman web teknologi yang secara lazimnya melaporkan berita dan ura-ura mengenai perkembangan teknologi di China baru-baru ini mengatakan bahawa sekurang-kurangnya tiga peranti Xiaomi kelas premium akan dilengkapi dengan sistem kamera swafoto dibawah paparan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Peranti-peranti ini termasuklah Xiaomi Mi Mix 4, Xiaomi Mi Mix Fold 2 dan juga Xiaomi CC 11, yang mana dua peranti pertama ialah peranti kelas mercu ataupun premium, manakala Xiaomi CC 11 boleh dikatakan peranti kelas premium pertengahan. Buat mereka yang tidak tahu, Xiaomi CC9 yang dilancarkan pada tahun 2019 ialah Xiaomi Mi Note 10 untuk pasaran China, yang mana ia hadir dengan kamera 108MP pertama di dunia.

Ini berikutan berita bahawa Visionox telah membangunkan sistem kamera bawah paparan generasi kedua mereka yang akan digunakan dalam peranti ZTE Axon 30 yang dikatakan akan mengurangkan kekurangan yang diperlihatkan dalam sistem kamera swafoto bawah skrin generasi pertama mereka.

Malah untuk Xiaomi, sebuah gambar peranti Xiaomi Mi Mix 4 yang menggerakkan sistem operasi Android dengan MiUI 13 juga dilihat, dan didalam foto tersebut tiada sebarang lubang kamera swafoto kelihatan, menjadikannya peranti dengan bingkai paling nipis pada mana-mana peranti Xiaomi yang pernah kami lihat setakat ini.

Untuk sistem kamera swafoto Mi Mix 4, Xiaomi dikatakan akan menggunakan sistem kamera bawah paparan Huaxing Optoelectronics yang diperkenalkan pada tahun lepas.

Kami menjangkakan bahawa Xiaomi akan memperkenalkan peranti-peranti baru yang menggunakan sistem kamera swafoto bawah paparan ini dalam masa beberapa bulan lagi.

Komen