Xiaomi Mi 6 adalah antara peranti mercu Xiaomi yang paling popular. Ia juga merupakan antara yang terawal mempopularkan penggunaan panel belakang seramik dengan harga jualan mampu milik. Peranti ini dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 835, dua kamera 12MP, saiz kompak, audio stereo, memori mencapai 6GB RAM dan rekaan yang menawan ketika ia dilancarkan.
Terkini, Lei Jun mengeluarkan kenyataan di laman Weibo beliau menyatakan masih ada sekitar 2.15 juta pengguna Mi 6 yang aktif. Walaupun sudah dilancarkan sejak April 2017 lalu, di mana sudah pun melebihi empat tahun dan dikira sebagai peranti usang – Lei Jun dilihat terkejut dengan jumlah pengguna Mi 6 yang masih aktif ini. Mi 6 juga merupakan antara peranti mercu kedua kegemaran saya secara peribadi selepas Mi 5.
Menjadi persoalan, adalah Xiaomi ingin melancarkan sesuatu berkaitan dengan Mi 6? Mungkinkah kita akan lihat Mi 6 dilancarkan kembali untuk 2021 dengan rekaan yang sama, tetapi spesifikasi dalaman yang lebih berkuasa? Adakah anda masih menggunakan Mi 6 ataupun sudah berhijrah ke peranti yang lebih terkini?