Intel Dalam Perbincangan Dengan Kerajaan Tempatan Bavaria Untuk Membangunkan Kilang Pembuatan Cip Dan Semikonduktor Bernilai 25 Bilion Euro

Diterbitkan pada Jun 21, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Bekalan cip pemprosesan yang sedang membelenggu sedikit sebanyak semua industri elektrik dan elektronik di seluruh dunia menyebabkan semua pembuat semikonduktor dan cip pemprosesan untuk mula membangunkan kilang-kilang baru untuk memastikan bekalan cip pemprosesan kembali stabil seperti biasa.

Intel ialah salah satu daripada syarikat-syarikat tersebut, dan sebelum ini mereka telahpun merancang untuk membangunkan kilang-kilang baru di Amerika Syarikat, tetapi kini mereka nampaknya sedang dalam perbincangan untuk membangunkan sebuah kilang di Eropah juga.

Terdapat beberapa laporan yang mengatakan bahawa Intel sedang berbincang dengan kerajaan tempatan Bavaria di negara Jerman untuk membangunkan sebuah kilang pembuatan cip pemprosesan dan semikonduktor berskala besar baru di kawasan tersebut.

Ia dilaporkan bahawa Intel sedang mencari subsidi sebanyak 8 bilion Euro untuk membangunkan sebuah kilang yang dianggarkan mempunyai nilai setinggi 25 bilion Euro dibawah strategi IDM 2.0 yang mana Intel bukan sahaja akan membangunkan cip-cip pemprosesan mereka sendiri, tetapi menjadi lokasi pilihan untuk syarikat-syarikat yang mahu mencipta cip pemprosesan mereka sendiri, sama seperti apa yang ditawarkan oleh TSMC.

Kerjasama ini masih lagi berada dalam fasa perbincangan, tetapi kerajaan Bavaria telahpun mengenalpasti lokasi yang sesuai untuk Intel membina kilang impian mereka, iaitu di sebuah pangalan udara yang tidak digunakan lagi di kawasan Penzing-Landsberg, berhampiran dengan Munich.

Beberapa pakar industri telah mengatakan bahawa Intel membuka sebuah kilang pembuatan cip di Eropah adalah sesuatu yang baik khususnya kerana industri automotif di sekitar kawasan itu akan lebih mudah untuk mendapatkan bekalan cip pemprosesan dan semikonduktor mereka dengan lebih pantas, mempercepatkan lagi pembangunan industri automotif di rantau itu semula.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami