Boring Company Ingin Membuka Terowong Bawah Tanah Untuk Penghantaran Kargo Pula

Diterbitkan pada Jun 21, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Boring Company baru sahaja membuka terowong bawah tanah di Las Vegas yang berfungsi sebagai sistem pengangkutan awam dengan kereta Tesla membawa penumpang. Selepas berjaya membina sistem pertama mereka yang diberi nama Vegas Loop ini, Boring Company kini cuba menjual pula idea menggunakan teknologi yang sama untuk penghantaran kargo bawah tanah.

Menurut laporan Bloomberg, Boring Company mula menghantar kertas cadangan membina terowong yang lebih lebar berbanding yang dibina di Las Vegas. Dengan lebar 21 kaki, ia boleh memuatkan dua kontena standard secara sebelah menyebelah. Ia hampir dua kali ganda lebih lebar berbanding terowong selebar 12 kaki di Las Vegas. Kontena akan dihantar ke destinasi menggunakan pelantar berkuasa elektrik menurut dokumen cadangan yang diberikan kepada daerah San Bernadino California.

Vegas Loop – Boring Company

Boring Company melihat sistem mereka ini akan dapat mengurangkan kesesakan jalan raya dengan lori berat di atas jalan raya. Ini bukanlah idea baharu kerana telah dicadangkan oleh penulis fiksyen sains sejak awal kurun ke-20.

Sistem pengangkutan awam bawah tanah Vegas Loop menerima kritikan orang ramai kerana tidak berfungsi seperti dijanjikan. Pada awalnya ia menggunakan koc elektrik yang bergerak di atas rel. Tetapi akhirnya digantikan dengan kereta Tesla yang hanya membawa tiga penumpang kerana sistem swapandu tidak boleh digunakan. Jumlah penumpang yang boleh dibawa dalam masa sejam pula lebih rendah berbanding sistem kereta api bawah tanah moden.

Sumber Bloomberg

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami