Samsung Memperkenalkan Siri Paparan Gaming Odyssey Baru Tanpa Skrin Melengkung

Diterbitkan pada Jun 21, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Selain daripada membuat peranti pintar, tablet dan televisyen, Samsung juga berkecimpung dalam arena gaming dan pembangunan PC melalui komponen-komponen dan aksesori komputer mereka. Diantaranya ialah siri paparan gaming Samsung Odyssey yang cukup terkenal untuk skrin melengkung dan juga teknologi paparan yang boleh dikatakan antara yang terbaik di pasaran.

Terkini, Samsung telah melancarkan sebuah lagi siri paparan gaming Odyssey yang mana ia hadir dengan rekaan paparan skrin leper dan tidak mempunyai rekaan melengkung seperti sebelum ini. Bermula dengan Samsung Odyssey G7 28, ia adalah sebuah paparan skrin IPS bersaiz 28 inci yang hadir dengan resolusi 4K, kadar segar semula 144Hz dan mempunyai sudut pandangan 178 darjah yang membolehkan pengguna untuk melihat kandungan pada skrin ini dari pelbagai sudut.

Ia juga hadir dengan sejumlah teknologi paparan seperti NVIDIA G-SYNC dan AMD FreeSync Premium yang memastikan paparan ini tidak menghadapi isu screen-tearing apabila dipadankan dengan komputer yang menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce dan AMD Radeon terbaru.

Bukan itu sahaja, untuk mereka yang mencari paparan skrin untuk dipadankan dengan konsol Sony PlayStation 5 ataupun Microsoft Xbox Series X terbaru, paparan skrin ini turut hadir dengan palam HDMI 2.1 yang membolehkannya menggerakkan kandungan konsol-konsol ini pada resolus 4K dan kadar segar semula 144Hz.

Samsung Odyssey G5 27 pula ialah paparan skrin bersaiz 27 inci dengan resolusi QHD dengan kadar segar semula 165Hz dan hadir dengan ciri-ciri sama seperti G-SYNC dan AMD FreeSync Premium yang hadir pada Samsung Odyssey G7 28. Selain daripada itu ia juga hadir dengan sokongan untuk teknologi HDR10 yang menjanjikan olahan warna yang lebih menyerlah khususnya untuk gaming dan menonton video daripada perkhidmatan video penstriman yang menyokongnya.

Samsung Odyssey G3 hadir dengan dua model, termasuklah 27 dan 24 inci dengan resolusi Full HD yang mempunyai kadar segar semula 144Hz dan sokongan untuk NVIDIA G-SYNC dan juga AMD FreeSync Premium. Model ini cukup sesuai bagi mereka yang hanya mahukan pengalaman gaming biasa dengan beberapa ciri tambahan yang menarik, dan menyokong teknologi-teknologi paparan yang baru.

Menurut beberapa laporan, model Samsung Odyssey G3 27 dan 24 akan tiba ke pasaran-pasaran terpilih pada 1 Julai kelak, manakala untuk model-model Samsung Odyssey G7 dan G5, tarikh pelancarannya tidak diketahui lagi buat masa ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami