ASUS Memperkenalkan Sistem Penghala ZenWiFi XD6 AX5400 Dual-Band Mesh WiFi 6 Pada Harga RM1499

Diterbitkan pada Jun 22, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jika anda menggunakan pelan internet gentian optik berkelajuan tinggi dan tinggal di rumah yang mempunyai keluasan yang besar, ataupun dinding-dinding tebal, kebarangkaliannya ialah satu penghala sahaja tidak mencukupi untuk keperluan harian peranti-peranti isi rumah anda.

ASUS baru-baru ini telah memperkenalkan sebuah lagi sistem penghala baru yang dinamakan ASUS ZenWiFi XD6 AX5400 Dual-Band Mesh WiFi 6 khusus untuk mereka yang menghadapi masalah sambungan internet yang tidak cukup meluas di rumah ataupun pejabat kecil.

Sistem WiFi mesh ZenWiFi XD6 AX5400 ini hadir dengan dua modul penghala yang boleh disambungkan ke satu sama lain untuk meluaskan lingkungan sambungan WiFi ke 5400 kaki persegi dan membolehkan pengguna untuk menikmati sambungan internet sehingga 5400Mbps melalui sambungan WiFi 6.

Bukan itu sahaja, penghala ZenWiFi XD6 AX5400 ini juga hadir dengan sistem dwi-band 2.4GHz dan 5.0GHz yang membolehkan sejumlah besar jenis peranti untuk berhubung kepadanya. Ini cukup penting khususnya untuk sejumlah peranti IoT yang rata-rata memerlukan sambungan 2.4GHz untuk disambungkan ke rangkaian penghala.

Ia juga hadir dengan tiga palam RJ45 LAN bagi mereka yang mahu menggunakan sambungan kabel untuk menyambung peranti-peranti seperti konsol ataupun storan Network-Attached Storage (NAS) ke rangkaian dengan lebih selamat.

ASUS ZenWiFi XD6 AX5400 ini juga hadir dengan aplikasi ASUS Router untuk platform Android dan iOS untuk proses pemasangan sistem rangkaian WiFi yang lebih cekap dan mudah. Anda hanya perlu memasang kedua-dua penghala ini ke palam kuasa, mulakan penggunaan aplikasi tersebut dan hanya ikut arahan yang tertera di skrin.

Lebih menarik lagi, jika anda memerlukannya, sistem penghala WiFi dari ASUS ini juga hadir dengan sistem VPN yang tersendiri, jika anda tidak mahu data penggunaan internet anda diintipi daripada mana-mana pihak.

ASUS Malaysia mengatakan bahawa sistem penghala WiFi ASUS ZenWiFi XD6 AX5400 Dual-Band Mesh WiFi 6 ini sudahpun mula dijual di pasaran tempatan dan boleh didapati di gedung pembelian atas-talian seperti Shopee dan Lazada pada harga RM1499.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami