Beberapa hari yang lalu, berita mengenai sebuah telefon keluaran syarikat telekomunikasi Yes, yang dinamakan Yes Altitude 3 yang digunakan untuk tujuan pembelajaran dari rumah (PdPR) telah meletup akibat bateri yang menggelembung, manakala sebuah peranti kedua pula menghadapi isu yang sama apabila sedang dicas.
Yes baru sahaja mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kedua-dua kes peranti yang meletup ini, dan ia cukup mengagumkan bagaimana syarikat tersebut masih boleh mengalih tanggungjawab dari tangan mereka kepada pihak pengguna.
Yes mengatakan bahawa untuk kes pertama, apabila peranti tersebut dilaporkan “meletup”, siasatan syarikat tersebut mendapati bahawa isu peranti ini adalah terhad kepada bahagian baterinya sahaja. Mereka mengatakan lagi bahawa untuk peranti ini, struktur dan paparan skrin peranti Yes Altitude 3 ini masih dalam keadaan elok, dan selepas bahagian baterinya ditukar, ia boleh digunakan tanpa masalah.

Untuk kes kedua pula, apabila peranti Yes Altitude 3 meletup apabila dicas, siasatan Yes mendapati bahawa pengguna peranti ini telah menggunakan pengecas dan juga kabel pihak ketiga yang mana kedua-dua aksesori ini adalah aksesori yang lama.
Siasatan Yes menunjukkan kesan bakar pada bahagian kabel pengecas dan juga palam USB pada bahagian peranti yang memperlihatkan arus kuasa yang tinggi dan tidak stabil dihantar kepada peranti tersebut sewaktu dicas. Yes sekali lagi mengatakan bahawa bahagian paparan skrin peranti tersebut tidak terjejas, menandakan bahawa peranti tersebut sebenarnya tidak meletup.
Yes menutup kenyataan mereka dengan mengatakan bahawa peranti-peranti Yes Altitude 3 yang digunakan untuk tujuan PdPR sebenarnya mengikuti piawaian keselamatan pengguna, dan menasihati para pengguna mereka supaya untuk hanya menggunakan pengecas yang disahkan oleh SIRIM untuk mengelakkan kes-kes seperti ini daripada berulang.