India Ingin Mengharamkan Promosi Jualan Murah Pada Platform E-dagang

Diterbitkan pada Jun 22, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Di Malaysia jualan murah di platform e-dagang sempena hari perayaan dan tarikh tertentu amat popular kerana mampu menawarkan barangan pada harga yang jauh lebih murah berbanding kedai fizikal. Malahan kerap kali peranti akan ditawarkan pada harga yang jauh lebih murah sekiranya pembelian dilakukan pada platform tertentu sahaja. Tetapi di India amalan promosi jualan murah pada platform e-dagang negara tersebut.

Cadangan mengharamkan jualan kilat barangan pada harga murah diumumkan oleh Kementerian Hal Ehwal Pengguna India. Ia ingin dilakukan selepas mereka menerima aduan dari pemilik kedai luar talian yang tidak mampu bersaing dengan platform gergasi seperti Amazon dan Flipkart. Kerana dimiliki syarikat besar, mereka mampu menjual peranti pada harga yang lebih rendah tetapi dalam jumlah yang besar.

Edagang

Platform e-dagang juga didapati tidak tulus dalam cara menjalankan perniagaan mereka. Amazon sebagai contoh memberikan kelebihan kepada penjual yang menerima suntikan dana dari mereka sendiri. Akibatnya lebih dari 1/3 jualan di Amazon India pada tahun 2019 disalurkan semula kepada syarikat walaupun platform mempunyai lebih dari 40,000 peniaga.

Kerajaan India juga ingin mengharamkan pemilik platform e-dagang dari menjual produk keluaran sendiri bagi memastikan keadilan kepada pedagang lain dalam platform. Mereka perlu mendedahkan sekiranya pedagang tertentu sebenarnya dimiliki platform e-dagang menerusi pemilikan pihak ketiga. Pemilik platform e-dagang kini diberikan masa 15 hari untuk memberikan maklum balas mengenai cadangan yang diberikan Kementerian Hal Ehwal Pengguna India.

Penentangan terhadap platform e-dagang gergasi khususnya milik syarikat luar semakin meningkat di India selepas ia menjejaskan perniagaan syarikat tempatan dan kedai fizikal. Sekiranya platform e-dagang terus dibenarkan memberikan tawaran murah ia akan memaksa peniaga lain gulung tikar sekaligus mewujudkan monopoli e-dagang yang akan merugikan pengguna.

Sumber Reuters

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami