Cari @ Amanz

Di pasaran Malaysia sekarang ada banyak telefon pintar mampu milik yang boleh dibeli oleh semua untuk tujuan berbeza. Ada yang khusus untuk fotografi, ada yang memfokuskan permua dan ada juga yang memfokuskan gaya hidup atau produktiviti. Tetapi terkini, ramai yang ingin mencari telefon pintar mampu milik yang sesuai untuk digunakan ketika sesi pembelajaran dai rumah atau PdPR. Poco M3 Pro adalah antara peranti tersebut. Selepas menguji peranti ini, kami dapati peranti ini cukup sesuai untuk bagi mereka dengan bajet yang ketat.

Spesifikasi Dan Rekaan

Poco M3 Pro 5G
Skrin6.5″ IPS LCD
FHD+, 90Hz
PemprosesDimensity 700 5G (7nm)
Cip2 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G57 MC2
RAM4/6 GB LPDDR4X
Muatan Dalaman64/128 UFS 2.2 (Mikro SD)
Kamera Utama48+2+2 Megapixel f/1.79+f/2.4+f/2.4
Mod malam, Kamera AI
Kamera Swafoto8 Megapixel f/2.0, Mod kecantikan AI
Bateri5000mAh
Pengecasan berwayar 18W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari di sisi
Harga JualanRM699/RM799

Sejak memperkenalkan Mi 10T, peranti-peranti di bawah jenama Xiaomi dengan panel LCD dilihat sudah menjadi semakin baik. Jika dulu kadar segar semula terhad kepada peranti mercu, kini peranti kelas pertengahan asas pun sudah menyokongnya. Dengan skrin 6.5-inci, resolusi FHD+ serta kadar segar semula 90Hz adalah penawaran yang cukup baik untuk sebuah peranti yang dijual tidak sampai RM700.

Selepas asyik mengeluh kepada Xiaomi yang MIUI mereka tidak begitu baik, lebih-lebih lagi peranti yang menjalankan MIUI for Poco – Poco M3 Pro 5G dilihat mempunyai sedikit penambahbaikan. Sokongan 90Hz tidak seteruk seperti sebelum ini. Ia masih lagi bukan adaptif dan tidak konsisten, tetapi mampu memberikan pengalaman sentuhan dan tatalan yang lebih baik daripada MIUI for Poco sebelum ini.

Benar, akan ada lagi masalah tersangkut-sangkut sedikit apabila membuka banyak aplikasi atau jika ingin buka senarai aplikasi yang sudah dibuka dan tukar di antara satu sama lain. Tetapi, ia tidak begitu menjengkelkan sehingga membuatkan kami rasa marah dan tidak berpuas hati dengan skrin peranti ini. Bezel skrin adalah nipis, tetapi pada bahagian dagu ia sedikit tebal sehingga menjadikan peranti kelihatan kurang sekata. Tetapi apa bole buat? Inilah satu standard untuk sebuah peranti dalam kelas ini.

Cip Dimensity 700 5G mempunyai kemampuan yang lebih kurang sama dengan cip Snapdragon 720G. Ia mempunyai dua teras 2.2 GHz Cortex-A766 dan enam teras 2.0 GHz Cortex-A55 yang dipadankan dengan cip GPU Mali-G57 MC2. Cip ini adalah cip yang cukup berkemampuan untuk sebuah peranti kelas pertengahan asas. Lebih-lebih lagi jika pengeluar peranti bijak dalam pengoptimasian perisian. Pada Realme 8 5G yang menggunakan cip yang sama, ia mempunyai sokongan memori maya sehingga 5GB. MIUI masih belum ada ciri ini lagi, tetapi ia sedang diuji oleh Xiaomi dan mungkin akan ditawarkan tidak lama lagi. Dengan ciri ini, prestasi boleh menjadi sedikit lebih pantas.

Tetapi anda perlu ingat, jangan beli kerana janji pengeluar yang akan diedarkan pada masa hadapan. Beli untuk apa yang sudah ditawarkan. Bercakap mengenai memori, Poco M3 Pro menggunakan memori 4GB RAM atau 6GB RAM seperti pada unit ulasan kami ini. Storan dalaman pula adalah jenis UFS 2.2 dengan saiz 64GB atau 128GB. Usah risau dengan sokongan 5G yang ada pada peranti ini walaupun kita tidak dapat menggunakannya. Ini kerana, modem 5G sedikit sebanyak membantu rangkaian 4G menjadi lebih stabil.

Sistem kamera adalah 48MP untuk sensor utama dan ditemani dengan dua lagi sensor 2MP untuk makro dan sensor kedalaman. Ini bermakna, sensor yang benar-benar boleh digunakan hanya ada satu sahaja. Kamera swafoto pula adalah 8MP melalui skrin berlubang. Walaupun ada satu sensor utama, MIUI for Poco yang berasaskan MIUI 12 dimuatkan dengan banyak fungsi kecerdasan buatan seperti mod malam, mod kecantikan, mod potret dan banyak lagi yang boleh membantu hasil gambar menjadi sedikit lebih baik.

Bateri yang Poco tawarkan pada model peranti ini adalah 5000mAh dengan pengecasan ‘pantas’ 18W. Pada hemat kami, tahun 2021 18W bukan lagi satu sistem pengecasan yang cukup pantas. Ada sahaja peranti dalam kelas yang sama memberikan sokongan pengecasan lebih pantas. 5000mAh bukannya saiz yang kecil dan walaupun menggunakan USB-C, masa pengecasan akan memakan masa anda yang bernilai.

Dengan menggunakan skrin LCD, Poco M3 Pro menggunakan sistem sekuriti imbasan cap jari fizikal. Walaupun ia adalah teknologi usang dan boleh dikatakan sudah ketinggalan zaman. Pengimbas cap jari fizikal masih lagi pantas, mudah digunakan dan tidak ada banyak isu berbanding pengimbas cap jari di bawah skrin yang digunakan dengan skrin OLED. Kita masih belum dapat lihat teknologi skrin LCD dengan pengimbas cap jari bawah skrin lagi. Pada peranti Poco ini, pengimbas diletakkan di sisi pada butang kuasa selari dengan peranti-peranti Redmi lain.

Walaupun peranti ini adalah peranti asas sahaja, elemen penting yang digemari ramai iaitu port bicu audio 3.5mm masih disertakan. Menjadikan peranti ini serba lengkap dengan ciri premium adalah, NFC, Bluetooth 5.1 dan juga sokongan sambungan WiFi 5GHz. Ciri seperti ini amat berguna ketika sesi pembelajaran dari rumah. WiFi lebih stabil, NFC atau Bluetooth memudahkan peranti ditambat pada peranti dengan lebih pantas dan penggunaan set fon telinga berwayar boleh memberi bonus pada penjimatan bateri.

Penggunaan Dan Perisian

Berbeza dengan OnePlus Nord N10 yang dijual pada harga mencecah RM1000, Poco M3 Pro dengan harga jualan tidak sampai RM800 ini menjalankan sistem operasi berasaskan Android 11 bukannya Android 10. Bukan itu sahaja, Poco juga menjanjikan kemaskini perisian konsisten selama tiga tahun dan bukannya hanya satu tahun .Ya, perisian MIUI for Poco berasakan MIUI 12 bukanlah yang terbaik. Tetapi MIUI 12.5 yang saya sendiri uji adalah antara versi yang terbaik bakal tiba tidak lama lagi.

Seperti yang disebut di perenggan sebelum ini, entah apa yang Poco lakukan pada MIUI for Poco untuk Poco M3 Pro – ia tidak ada masalah menjengkelkan seperti yang kami alami pada peranti Poco lain. Sepanjang penggunaa peranti ini untuk beberapa minggu, boleh dikatakan hampir setiap masa ia memberikan pengalaman yang cukup baik. Boleh dikatakan seperti Realme 8 5G dengan Realme UI 2.0 berasaskan ColorOS 11 mereka. Ia juga membuktikan teori kami, bahawa 4GB RAM tidak sesuai untuk MIUI dan 6GB RAM seperti yang kami gunakan ini adalah jumlah RAM yang minima untuk prestasi yang baik.

Antaramuka MIUI for Poco adalah lebih kurang sama sahaja dengan mana-mana peranti MIUI. Ciri dan fungsi menarik juga sama ditawarkan pada peranti ini. Walaupun tidak memberikan pengalaman penggunaan seakan Android asli yang mula ditawarkan oleh Oppo, Realme atau Vivo, banyak aplikasi Google sedia terbina dan perkhidmatan Google terbina secara lalai disertakan. Contohnya aplikasi panggilan telefon dan aplikasi permesejan. Dengan slogan diperbuat daripada marah atau gila (Made of Mad), Poco benar melakukan kerja gila pada peranti mampu milik mereka ini.

Tidak kira spesifikasi peranti mercu atau tidak, ciri dan fungsi yang lebih kurang sama akan cuba diberikan kepada pengguna. Dengan kerja gila mereka ini, setiap pengguna Poco berbeza tidak akan terasa asing dan boleh mengeratkan lagi silaturahim dalam komuniti mereka yang cukup aktif ini.

Penanda Aras

Jangan sudah beli sardin, anda nak ayam pula! Poco M3 Pro 5G adalah sebuah peranti yang baik dan memadai untuk tugasan asas, lebih-lebih lagi untuk PdPR. Walaupun ia mempunyai pengalaman penggunaan yang baik dan prestasi yang cukup bagus, ia tidak bermakna mempunyai kemampuan setaraf dengan sebuah peranti mercu. Ini bermakna, janganlah anda harapkan peranti ini boleh mengendalikan permua dengan pengalaman bermain dengan grafik tinggi, lancar, dan tiada masalah.

Ia adalah seperti anda membeli komputer riba yang dipasarkan untuk tujuan produktiviti, tetapi anda mengeluh kerana tidak mampu menjalankan permainan video pada tetapan tinggi. Asphalt 9 antara permua yang saya uji, baik sahaja dijalankan pada tetapan medium. Tetapi akan ada rasa sedikit lengah masa dan tersangkut-sangkut pada sesetengah masa. Ia boleh diterima untuk sebuah peranti dalam kelas ini. Lebih-lebih lagi dengan harga jualan sekitar 20% ke 30% lebih murah daripada harga Mi 11.

Dalam ujian Geekbench 5, Poco M3 Pro 5G mencatatkan skor 361/1013 untuk satu teras dan multi-teras. Dari segi prestasi skor satu teras Dimensity 700 adalah 38.7% dan adalah 30.6% lebih rendah daripada prestasi multi teras Snapdragon 888 (Mi 11). Dalam ujian Antutu 3D pula, ia mencatatkan skor 316,148 dan adalah sekitar 44.7% skor yang dicatatkan pada Snapdragon 888 (706,990 markah)

Kamera

Poco M3 Pro sebenarnya hanya ada satu kamera sahaja yang anda benar-benar boleh gunakan, iaitu 48MP. Dua lagi 2MP adalah gimik semata-mata dan seakan tidak membantu pun untuk hasil gambar. Ia tiada sokongan zum optikal, tiada sokongan OIS, tiada ciir-ciri menarik seperti peranti Poco yang lebih mahal – Poco F3. Kamera swafoto pula adalah 8MP sahaja.

Walaupun begitu, agak mengejutkan yang hasil gambar pada peranti ini bukanlah teruk atau perkataan lebih kasar sampah. Malah, kami sendiri terkejut yang peranti ini mempunyai kualiti gambar yang cukup menarik dan terbaik. Lihat gambar swafoto di atas untuk contoh bagi mod biasa, mod potret dan mod potret dengan mod kecantikan diaktifkan. Hasilnya agak memberangsangkan. Mod biasa mampu memelihara butiran dengan baik, mod potret juga agak kemas untuk peranti dalam kategori ini.

Gambar mod biasa pada kamera 48MP juga mempunyai fokus yag baik, hasil warna yang cukup hidup dna kadangkala turut mampu memelihara butiran dengan baik. Tetapi peranti seperti ini adalah perkara biasa untuk mempunyai sumber cahaya yang mencukupi. Tetapi, jangan didedahkan kepada terlampau banyak cahaya seperti di bawah cahaya matahari atau pada bahagian yang ada sinaran cahaya seperti papan tanda. Mod AI banyak membantu menetapkan profil wara terbaik untuk subjek yang berbeza.

Macam yang kami katakan tadi, sensor 2MP untuk kedalaman dan makro adalah gimik. Kerana pada akhirnya, setiap gambar yang diambil akan melalui pasca-proses dan perisian yang menentukan hasil akhir. Makro tidak mempunyai fokus yang baik dan hanya kadangkala sahaja hasilnya baik. Tetapi, mod jarak dekat mampu memberikan hasil yang menggembirakan hati kami. MIUI 12 masih ada masalah di mana mod AI kadangkala memberikan satu profl warna yang baik dan kadangkala tidak begitu baik.

Mod malam pula, adalah sekadar menerangkan bahagian yang ada sumber cahaya. Lihat contoh gambar ini, percayalah anda mungkin tidak ingin lihat hasil tanpa mod malam diaktifkan. Tetapi jika diaktifkan, ya – ia sedikit membantu. Tetapi disebabkan sumber cahaya pada bahagian kiri adalah jingga, keseluruhan gambar kelihatan menggunakan penuras. Tiada butiran, tiada fokus baik dan langit juga penuh dengan hingar dan seakan disunting pada aplikasi suntingan yang tidak siap disunting.

Audio

Audio adalah ala kadar sahaja. Peranti ini hanya mempunyai pembesar suara mono dan ia bukanlah yang terbaik. Walaupun ianya kuat, ia tidak ada definisi yang memuaskan. Tidak kira anda mendengar fail audio dengan format biasa atau berkualiti tinggi, hasilnya adalah lebih kurang sama sahaja. Jadi untuk mempunyai pengalaman pendengaran yang baik, aksesori audio seperti set fon telinga berwayar akan lebih membantu. Syukur ada lagi port 3.5m disertakan. Kemudian dengan sokongan Bluetooth 5.1, jika ditambat pada aksesori dengan sistem Bluetooth yang sama – audio tidak akan menjadi sela masa dan akan memberikan satu pengalaman yang lebih memuaskan.

Bateri

Jika peranti ini dijadikan sebagai peranti sandaran, dengan penggunaan yang ringan dan asas – masa standby tiada masalah untuk mencapai melebihi 3 hari. Tetapi SOT akan menjadi kurang, iaitu kurang dua jam. Jika digunakan seperti biasa, SOT boleh mencapai lebih 10 jam tanpa sebarang masalah. Manakala, untuk penggunaan ekstrem seperti menggunakan kamera, mendengar muzik, menonton video, bermain permua dan aktif di media sosial – peranti ini boleh bertahan sekitar 8 jam SOT.

Dengan kuasa pengecasan hanya 18W dan kapasiti bateri 5000mAh, masa pengecasan adalah melebihi 1 jam. Iaitu sekitar 1 jam 45 minit atau kadangkala mencapai dua jam, mengikut keadaan peranti seperti suhu dan sebagainya. Dengan memiliki banyak pengecas dengan sokongan pengecasan adaptif, peranti boleh dicas dengan mana-mana pengecas USB-C yang diiktiraf oleh piawaian USB. Misalnya menggunakan pengecas ZMI 30W dengan kabel USB-C ke USB-C ZMI set import yang asli, peranti ini boleh dicas tanpa sebarang isu. Walaupun pengecas tidak diiktiraf SIRIM kerana set luar, peranti ini tidak akan meletup atau terbakar kerana komponen dalaman yang lebih moden dan terkini – bukannya yang berusia empat tahun yang sudah usang dan ketinggalan dimakan zaman.

Pesaing

OnePlus Nord N10 5GPoco M3 Pro 5GYes Altitude 3
6.49″ IPS LCD, 1080 x 2400,
HD, 90Hz (406 ppi)
6.5″, IPS LCD, 1080 x 2400
FHD+, 90Hz, 405 ppi
5.0″ IPS LCD, 480 x 854
HD, 60Hz
Snapdragon 690 (8nm)
2 x 2.0 GHz Kryo 560 Gold
6 x 1.7 GHz Kryo 560 Silver
Dimensity 700 5G (7nm)
2 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Mediatek MT6739 (28nm)
4 x 1.3GHz Cortex-A53
Adreno 619LMali-G57 MC2IMG PowerVR GE8100
6 GB LPDRR4X4/8 GB LPDDR4X1GB LPDDR3
256 GB UFS 2.1
Mikro SD sehingga 512GB
64/128 GB UFS 2.2
microSDXC
8GB eMMC 5.1
Mikro SD
Kamera Utama
64+8+2+2 Megapixel
f/1.8+f/2.3+f/2.4+f/2.4
Kamera Utama
48+2+2 Megapixel
f/1.79+f/2.4+f/2.4
Kamera Utama
8 Megapixel
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.1
Kamera Hadapan
8-Megapixel f/2.0
Kamera Hadapan
0.3 Megapixel
Tidak kalis airTidak kalis airTidak kalis air
Ada bicu audioAda bicu audioAda bicu audio
Audio StereoAudio MonoAudio Mono
4300mAh (Berwayar 30W)5000mAh (Berwayar 18W)2000mAh (Boleh tanggal)
Harga RM1199Harga RM699/RM799Percuma

Kesimpulan

Poco M3 Pro adalah variasi lebih berkuasa kepada Poco M3 yang dilancarkan lewat tahun lepas. Kehadiran peranti ini amat sesuai dengan tempoh PKP secara menyeluruh, kerana peranti ini mempunyai spesifikasi cukup baik untuk digunakan ketika sesi PdPR. Walaupun harga jualan rasmi adalah RM699 dan RM799 untuk 4/64 GB dan 6/128 GB, siapa yang membeli semasa promosi pelancaran boleh mendapatnya pada harga RM599/RM699. Jika anda terlepas dengan jualan promosi rasmi, masih ramai penjual menjual set rasmi pada harga tidak sampai RM600 pun di Shopee.

Dengan skrin FHD+, menyokong kadar segar semula 90Hz, mempunyai prestasi yang cukup baik, kamera yang memberangsangkan, serta bateri yang tahan lama – peranti ini adalah antara peranti kelas pertengahan asas terbaik yang anda semua boleh beli hari ini. Dengan kemaskini yang dijanji akan diberikan secara konsisten untuk tiga tahun, ia amat berbaloi dan tidak banyak keluhan boleh diberikan.

Pro

  • Rekaan yang unik dan kelihatan premium
  • Prestasi Dimensity 700 yang cukup berkuasa
  • Skrin 90Hz yang memberi ilusi prestasi lebih pantas
  • Ketahanan bateri yang berpanjangan
  • Kemaskini sehingga tiga tahun
  • Kamera yang cukup berkualiti pada kelasnya

Kontra

  • Skrin LCD dengan dagu tebal
  • Masih lagi MIUI 12 yang tidak konsisten
  • Pengecasan hanya 18W
  • Logo Poco terlampau besar

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd