Cari @ Amanz

Microsoft Edge adalah adalah pelayar web versi baharu Microsoft yang dibina berasaskan Chromium, iaitu enjin asas yang sama dengan pelayar web Google Chrome. Tetapi, dari segi prestasi dan pengalaman penggunaan – Microsoft Edge dilihat jauh lebih baik. Walaupun ia masih baru lagi, statcounter dan netmarketshare mencatatkan rekod yang Edge adalah pelayar web ketiga paling popular dengan Safari di tempat kedua dan Chrome kekal menjadi nombor satu setakat Mei 2021.

Ia padat dengan ciri dan fungsi menarik, boleh digunakan secara rentas peranti dan banyak lagi. Terkini, Microsoft Edge telah membenarkan pengguna untuk berkongsi tab di antara satu peranti dengan peranti yang lain – jika kedua-dua peranti atau lebih menggunakan akaun Microsoft yang sama. Pengguna hanya perlu pergi ke bar alamat, tekan ikon komputer riba dan telefon dengan label Hantar halaman ini atau Send this page dan pilih peranti yang ingin anda kongsi tab tadi. Notifikasi akan terpapar pada peranti satu lagi, tekan dan anda boleh terus buka laman web tadi.

Selain itu, anda juga boleh klik-kanan pada sesebuah laman web dan pilih Hantarkan page ke peranti anda. Ciri ini sudah ada pada Edge di Android dan iPhone sebelum ini, iaitu Continue on PC atau Send to a PC. Cuma kini ia dikembangkan kepada versi desktop pula. Ciri ini juga adalah sama dengan apa yang Google Chrome dan Mozilla Firefox tawarkan sejak dari dulu lagi. Akhirnya, Microsoft mula menawarkan ciri ini untuk menyempurnakan lagi pengalaman penggunaan pengguna pelayar web mereka.

Perlu diingatkan, ciri ini dilihat ditawarkan secara terhad dan hanya segelintir pengguna sahaja menerimanya. Ia mungkin akan diedarkan kepada semua pengguna tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd