Pemain Muzik FiiO M11 Plus Dilancarkan Dengan Snapdragon 660, Sokongan Apple Music Dan Juga AirPlay

Diterbitkan pada Jun 23, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Mungkin tidak ramai mengenali jenama FiiO, iaitu jenama yang agak terkenal di kalangan peminat tegar audio fideliti tinggi atau lebih dikenali sebagai audiophile. FiiO adalah jenama bagi produk-produk audio seperti pemain muzik, peranti penukar digital-ke-analog (DAC), set fon telingan IEM, amplifier dan pelbagai lagi.

Pemain muzik seperti FiiO M11 adalah antara produk premium mereka, kerana mempunyai DAC, skrin sesentuh dan menjalankan sistem operasi Android. Ia sudah pun menyokong banyak aplikasi muzik seperti Tidal untuk menstrim audio nirhilang. Dengan Apple Music yang kini hadir dengan sokongan penstriman audio berkualiti tinggi, semua produk FiiO sedia ada tidak menyokong aplikasi ini. Kini, mereka telah melancarkan FiiO M11 Plus yang membolehkan para audiophile memasang aplikasi Apple Music dan menggunakannya tanpa sebarang masalah.

Keunikan FiiO M11 Plus bukan sahaja pada sokongan aplikasi muzik Apple, tetapi turut dari segi rekaan dan spesifikasi dalaman. Pemain muzik ini hadir dengan skrin 5.5-inci daripada panel IPS LCD beresolusi 1440×720 dengan nisbah 18:9 rekaan nirbingkai, dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 660, dua cip DAC AK4497EQ dengan pengiktirafan THX, dua cip AMP LMH6644 dan juga dua pengayun kristal femtosecond. Untuk memori ia hadir dengan 4GB RAM dan storan dalaman 64GB dengan sokongan kad mikroSD sehingga 2TB.

Ia menjalankan sistem operasi Android 10, mempunyai butang kawalan fizikal, tombol analog potentiometer untuk aras suara, butang kunci khas, bateri 6000mAh dengan pengecasan pantas Power Delivery 2.0 dan juga Quick Charge 4.0. FiiO mendakwa M11 Plus boleh bertahan sehingga lebih 11 jam dengan sekali pengecasan. Disebabkan ia menyokong Apple Music, pemain muzik ini turut hadir dengan sokongan AirPlay.

Pemain muzik ini turut boleh digunakan bersama-sama dengan aksesori audio nirwayar, kerana menyokong Bluetooth 5.0 dengan pelbagai format termasuk aptX HD atau LDAC. Ciri dan fungsi lain memfokuskan audio seperti 384kHz-32bit/DSD256, 384kHz-32bit/DSD128, port bicu audio 2.5mm, 3.5mm dan 4.4mm turut dikekalkan. Bahan binaan pula adalah aluminium aloi atau keluli tahan karat dengan panel belakang yang mempunyai kemasan seakan potongan berlian.

Harga jualan rasmi adalah $749 untuk aluminium dan $899.99 untuk keluli tahan karat, iaitu sekitar RM3106 dan RM3733. Buat masa ini, harga jualan tempatan masih belum diumumkan oleh FiiO Malaysia lagi.

Sumber: FiiO

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami