Philips Momentum Designed For Xbox Ialah Paparan Gaming Pertama Yang Dibina Khusus Untuk Siri Konsol Xbox

Diterbitkan pada Jun 23, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Konsep paparan gaming bukanlah sesuatu yang baru. Syarikat-syarikat seperti ASUS, Dell, MSI, GIGABYTE dan sebagainya telah memperkenalkan siri paparan gaming mereka khususnya untuk golongan bangsawan PC, tetapi ia juga boleh digunakan untuk menggerakkan permainan-permainan pada konsol permainan video.

Terkini, Philips telah memperkenalkan paparan skrin Philips Momentum Designed For Xbox mereka, iaitu sebuah paparan skrin gaming yang dibangunkan khusus bersama-sama dengan Microsoft untuk konsol Xbox, khususnya Xbox Series X yang terbaru.

Setakat ini hanya satu model yang diperkenalkan, iaitu paparan dengan skrin bersaiz 55 inci dengan resolusi 4K dan kadar segar semula 120Hz dengan sokongan untuk sejumlah teknologi paparan seperti kecerahan 1200 nit dengan sokongan untuk DisplayHDR 1000 yang menjanjikan pengolahan warna yang lebih cantik berbanding dengan banyak paparan-paparan gaming yang lain.

Salah satu fungsi unik yang hadir pada paparan skrin gaming gergasi ini ialah ia hadir dengan sebuah mod yang dinamakan Xbox Game Mode yang sedikit sebanyak mengoptimasikan cara kandungan dalam Xbox Series X dan S diperlihatkan. Philips bekerjasama dengan Microsoft untuk membangunkan mod ini.

Bukan itu sahaja, paparan Philips Momentum ini juga hadir dengan pembesar suara terbina yang dibangunkan dengan kerjasama bersama Bowers & Wilkins, sebuah syarikat perkakasan audio premium dari United Kingdom.

Menurut Philips, buat masa ini paparan Philips Momentum For Xbox ini hadir untuk pasaran Amerika Syarikat sahaja buat masa ini, dan akan mula dijual di pasaran tersebut pada tanda harga $1599 pada musim panas kelak.

Sumber: Notebookcheck

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami