Apabila pergi menonton filem di wayang, kami akan menempah tiket kerusi di tengah-tengah untuk memastikan pemandangan yang terbaik dan pengalaman audio paling optimum. Jika kerusi yang salah dipilih, pengalaman boleh menjadi hancur kerana dialog tidak dapat didengari. Flexound Pulse ialah sistem terkini yang menawarkan audio peribadi di panggung wayang.

Sistem Flexound Pulse dilengkapi sistem audio tersendiri pada setiap kerusi. Setiap penonton akan mempunyai pengalaman audio yang sama tanpa mengira kedudukan mereka di dalam panggung wayang. Oleh sebab itu audio hanya perlu ditala untuk setiap kerusi dan bukan untuk setiap dewan berbeza seperti sistem THX.

Serasi dengan dunia pandemik, kerusi mempunyai penghadang yang bukan sahaja mengelakkan audio melimpah keluar tetapi juga untuk pembatasan sosial antara penonton. Di Malaysia sistem Flexound telahpun digunakan di panggung TGV tetapi hanya dengan speaker di bahagian kepala. Flexound Pulse meningkatkannya lagi dengan sistem lebih menyeluruh lengkap dengan sistem getaran haptik secara terbina.
Sumber Flexound