Android Enterprise Recommended adalah program daripada Google untuk peranti-peranti yang diiktiraf sesuai untuk tujuan perusahaan. Setiap peranti yang diiktiraf dalam program ini menjanjikan sekuriti, privasi dan memudahkan penyelia untuk menyelia peranti-peranti para pekerja.
Terkini, Google mula memperkenalkan Android Enterprise Essentials pula. Ia adalah program yang lebih kurang sama dengan Android Enterprise Essentials, tetapi memfokuskan kepada usahawan kecil dengan jumlah pekerja yang sedikit serta dengan bajet lebih rendah untuk peranti dalam program ini. Melaluinya, setiap peranti akan mempunyai kunci skrin dan penyulitan khas untuk mengelak data syarikat diceroboh. Kemudian memastikan pekerja tidak boleh memuat turun aplikasi di luar Play Store dan dilindungi dengan Google Play Protect. Program ini turut membolehkan penyelia memadam data dalam peranti dari jarak jauh sekiranya peranti hilang, rosak atau dicuri.
Bagi usahawan dengan bajet sederhana, tiada pasukan IT tersendiri dan inginkan pengurusan sekuriti yang lebih mudah serta murah – ini adalah programnya. Menariknya majikan atau penyelia tidak perlu membeli peranti secara pukal daripada Google atau rakan kerjasama lain, kerana pekerja boleh menggunakan peranti peribadi. Tetapi, setiap peranti itu haruslah menepati piawaian minima yang ditetapkan oleh Google.
Program ini sudah pun diperkenalkan sejak tahun lepas dan baru sahaja dikembangkan ke beberapa negara lain melalui beberapa rakan telko Google.