Astro Akan Menawarkan Kotak Dekoder Nirsatelit Pada Awal Bulan Hadapan

Diterbitkan pada Jun 23, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Ia baru sahaja dilaporkan bahawa Astro dan Netflix mungkin sedang berbincang untuk memeterai sebuah perjanjian yang akan membolehkan perkhidmatan platform penstriman tersebut ditawarkan melalui Astro.

The Edge yang melaporkan mengenainya juga mengatakan bahawa Astro akan mula menawarkan kotak dekoder yang tidak memerlukan sambungan kepada satelit MEASAT-3 milik Astro untuk menonton kandungan yang mungkin ditawarkan seawal 6 Julai 2021 kelak.

Ia dijangka bahawa Astro akan mula mengubah sokongan rangkaian mereka ke penggunaan internet jalur lebar secara meluas, dan ini akan memudahkan para pelanggan mereka untuk menonton rangkaian terestrial seperti Awani, Supersport dan lain-lain, tanpa perlu risau mengenai isu-isu seperti hujan lebat ataupun isu satelit yang tidak dapat memancarkan isyarat-isyarat data ke piring satelit di atap rumah.

Dengan pengalihan kepada kotak dekoder tanpa memerlukan sambungan satelit ini, Astro juga boleh mengurangkan kos pemasangan satelit yang diharap boleh mengurangkan bebanan pembayaran kepada pengguna sedia ada dan mereka yang baru bercadang untuk melanggani perkhidmatan Astro.

Astro dijangka akan membuat pengumuman mengenai penawaran kotak dekoder tersebut dalam masa terdekat ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami