Cari @ Amanz

John McAfee, pencipta perisian antivirus popular McAfee meninggal dunia di dalam penjara Sepanyol hari ini. Menurut peguam beliau, McAfee ditemui mati di dalam sel dan dipercayai telah membunuh diri. Beliau meringkuk di dalam penjara Sepanyol sejak Oktober tahun lalu ketika dalam perjalanan ke Turki.

McAfee

Beliau diburu pihak berkuasa Amerika Syarikat atas kesalahan tidak membayar cukai pendapatan sejak 2011 dan jenayah membabitkan wang kripto. Sekiranya didapati bersalah, McAfee berhadapan penjara sehingga 30 tahun. Sehari sebelum ditemukan mati, mahkamah Sepanyol meluluskan permohonan ekstradisi beliau kembali ke Amerika Syarikat.

Walaupun perisian McAfee digunakan jutaan komputer di seluruh dunia sejak mula mula dijual pada tahun 1987, John McAfee tidak lagi terlibat dengan syarikat yang ditubuhkan beliau sejak 1994. Beliau telahpun menjual keseluruhan pegangan syarikat pada waktu tersebut. Kerana perisian McAfee terpasang pada hampir kesemua komputer Windows, ia kerap dipersalahkan apabila komputer menjadi perlahan sehingga John McAfee memuat naik video bagaimana untuk menyah-pasangnya pada tahun 2013.

(Sumber : Reuters)

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd