Lenovo ThinkPad X1 Extreme Gen 4 diumumkan hari ini dengan spesifikasi yang cukup tinggi setanding dengan statusnya sebagai workstation kelas mercu mudah alih. Komputer riba ini dilengkapi skrin 16″ IPS LCD dengan resolusi sehingga 4K. Skrin kali ini bernisbah 16:10 satu perubahan dari skrin 16:9 yang ditawarkan pada model terdahulu dengan sokongan Dolby HDR.

Cip Intel Core i9 siri-H vPro Gen11 dipadankan pula dengan pilihan GPU sehingga NVIDIA GeForce RTX 3080, memori sehingga 64GB RAM dan storan pula sehingga 4TB. Seperti kesemua ThinkPad X1 Extreme terdahulu, memori dan storan boleh ditambah oleh pengguna pasca pembelian dengan dua slot untuk storan M.2 PCIe. Membekalkan kuasa ialah bateri besar 90Wh yang menawarkan penggunaan sehingga 10 jam.

Pilihan I/O pula ialah 2x USB-A, 2x USB-C Thunderbolt 4, pembaca kad SD, bicu audio 3.5mm dan HDMI. Tiada isu perlu membawa penyesuai apabila menggunakan komputer riba ini. Tetapi kami sedari ia masih lagi menggunakan port pengecasan ThinkPad yang berkepala empat segi.
Penambahbaikan lain ialah kamera web kini meningkat ke FHD lengkap dengan sistem penutup fizikal ThinkShutter. Sistem pengimbas cap jari juga disertakan pada butang kuasa dengan cip TPM 2.0 bagi memastikan lagi keselamatan data peribadi. Bagi yang risau tentang ketahanan ketika bekerja di luar, Lenovo ThinkPad X1 Extreme Gen 4 melepasi piawaian MIL-STD 810H.

Papan kekunci standard ThinkPad yang melengkung serta pad sesentuh lengkap dengan puting tetikus TrackPoint turut disertakan. Sambungan WiFi 6E disertakan sekali dan terdapat pilihan model dengan slot SIM 5G. Kesemua komponen ini dimasukkan ke dalam tubuh gentian karbon dengan berat keseluruhan hanya 1.81 kg.
Lenovo ThinkPad X1 Extreme Gen 4 akan mula dijual bermula Ogos 2021 pada harga bermula €2099 (~RM10,432)sebuah.
Sumber Lenovo