Huawei P50 Mungkin Akan Dilancarkan Dengan Sensor Kamera Bersaiz 1/1.18 Inci

Diterbitkan pada Jun 24, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Beberapa ura-ura mengenai pelancaran peranti pintar kelas mercu Huawei P50 telah dilaporkan baru-baru ini, termasuklah penggunaan cip Qualcomm Snapdragon 888 yang tidak akan hadir dengan sokongan untuk rangkaian 5G.

Baru-baru ini, sebuah lagi ura-ura hadir mengatakan bahawa peranti pintar tersebut akan hadir dengan sensor kamera terbesar dalam sebuah peranti pintar setakat ini, pada saiz 1/1.18 inci. Jika benar, Huawei P50 akan menjadi peranti pertama dengan kamera sebegini, yang mana ia lebih besar berbanding dengan peranti Sharp Aquos R6 dan Leica Leitz 1 yang diumumkan akan menggunakan sensor kamera bersaiz 1 inci.

Sebagai perbezaan dengan peranti mereka sendiri, Huawei P40 Pro Plus dilancarkan dengan sensor kamera bersaiz 1/1.28 inci.

Ia juga dikatakan bahawa Huawei akan mengumumkan pelancaran Huawei P50 pada 29 Julai kelak, dan hanya akan diumumkan untuk pasaran China buat masa ini. Ini mungkin kerana Huawei dilihat mahu mengurangkan skala pengeluaran peranti mereka khususnya kerana mereka bukan lagi sebahagian daripada lima pengeluar peranti pintar besar di dunia.

Akan tetapi, laporan-laporan ini perlulah diambil sebagai ura-ura buat masa ini, walaupun ia benar untuk pasaran Malaysia, Huawei dilihat banyak memfokuskan kepada pemasaran komputer riba, tablet, televisyen pintar dan peranti berhubung.

Ia cukup menarik untuk melihat bagaimanakah Huawei P50 akan bersaing dengan peranti-peranti pintar yang lain walaupun di China khususnya kerana mereka perlu membangunkan bukan sahaja perkakasan, tetapi juga perisian mereka sendiri.

Sumber: Notebookcheck

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami