Mengapa Startup Agritech Dan Fintech Perlu Menyertai Selangor Accelerator Program 2021?

Diterbitkan pada July 1, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Penularan wabak Covid-19 telah mengubah banyak perkara. Ia bukan sahaja menyebabkan masyarakat hari ini perlu menyesuaikan diri dengan pembudayaan norma baru. Bahkan, banyak kerja, aktiviti dan program yang terganggu sehinggakan ada di antaranya terpaksa dibatalkan atau ditunda. Namun, ini tidak bermakna bahawa tiada kaedah terbaik yang boleh diambil. Sebenarnya kalau perasan, ramai mula beralih kepada program latihan dalam talian dan ia sudah menjadi sebahagian daripada trend ketika ini.

Selangor Accelerator Program (SAP)

Sama seperti, Selangor Accelerator Programme (SAP) sendiri. Program ini telah diadakan buat pertama kalinya pada tahun 2018. Sehingga tahun 2020, ia berjaya melahirkan sebanyak 90 syarikat startup tempatan yang hebat dalam industri masing-masing. Ia bertepatan dengan objektif utama program ini yang mahu membuka peluang kepada golongan usahawan tempatan mengasah bakat perniagaan dan mengolah strategi bagi menerima pelabur. Program ini berlangsung secara intensif selama tiga bulan dan ia dipenuhi dengan pelbagai teknik penyampaian yang berkesan seperti latihan, kelas dan sesi perkongsian bersama mentor yang berpengalaman daripada pelbagai industri.

Daripada jumlah tersebut, Hey Alfred dan Kapitani Sdn Bhd antara dua syarikat startup tempatan yang telah mempamerkan segala usaha keras yang pada akhirnya ia membuahkan hasil berbaloi. Untuk pengetahuan semua, HeyAlfred yang merupakan startup tempatan fintech dan Kapitani Sdn. Bhd. pula memfokuskan kepada teknologi pertanian atau agroteknologi (agritech). Dalam temu bual bersama kami di Amanz, terdapat banyak pandangan dan input berguna yang dikongsi oleh kedua-dua syarikat ini. Melaluinya, ia diharap mampu memberi motivasi tambahan buat para startup tempatan yang masih mencari hala tuju jelas untuk perniagaan masing-masing.

Acara Demo Day SAP 2020

HeyAlfred – Pengurus Kewangan Peribadi

HeyAlfred merupakan antara startup yang menduduki lima tangga teratas dalam Selangor Accelerator Program 2020 (SAP 2020) yang diadakan sekitar bulan Mei hingga September tahun lalu. Pada dasarnya, HeyAlfred merupakan satu aplikasi mudah alih berasaskan AI yang mampu membantu dalam pengurusan hal kewangan peribadi dengan lebih baik. Selain itu, ia turut memberikan pandangan bernas yang berkaitan dengan perbelanjaan pengguna. Dengan ini, pengguna boleh mendapatkan gambaran yang lebih terperinci mengenai corak atau tabiat perbelanjaan kewangan sendiri menerusi aplikasi mesra pengguna ini.

Aplikasi Pengurusan Kewangan, HeyAlfred

Aplikasi juga boleh diintegrasikan dengan beberapa bank dan e-dompet dalam satu platform. Setiap ringkasan perbelanjaan akan dibahagikan kepada beberapa kategori dan ia kemudiannya dipersembahkan secara tersusun dalam bentuk yang mudah difahami. Ciri pada aplikasi ini tidak hanya terhad kepada pemantauan perbelanjaan sahaja. Tetapi pada masa yang sama, ia turut mendorong pengguna untuk menabung untuk mencapai satu matlamat tertentu.

Lebih menarik lagi, terdapat juga ‘chatbot’ berasaskan AI dikenali sebagai ‘Alfie’. Melaluinya, pengguna bebas untuk bertanyakan sebarang soalan secara terus – termasuklah hal berkaitan perbelanjaan mahupun simpanan. Dalam pada itu, ia juga akan memberi pandangan atau panduan mengenai cara pengurusan wang peribadi yang lebih baik. Aplikasi HeyAlfred boleh didapati menerusi Google Playstore dan Apple App Store. Sehingga kini, ia telah dimuat turun sekitar 15,000 kali sejak awal diperkenalkan.

Ditanya mengenai perancangan pada masa akan datang, Pengasas Bersama & Ketua Pegawai Kewangan HeyAlfred, Adam Helmi berkata, kemaskini versi baru untuk aplikasi tersebut bakal tiba sekitar suku ketiga tahun ini. Melaluinya, ia akan menerima peningkatan baik dari segi fungsi mahupun kelajuan menerusi penambahan ciri input manual untuk dalam upaya membendung permasalahan dengan bank.

Adam Helmi, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) HeyAlfred | Sumber : HeyAlfred

Sementara itu, bercakap mengenai Selangor Accelerator Programme (SAP) pula, Adam berkata, mereka melihat program berkenaan sebagai satu saluran yang cukup efisien bagi mengembangkan produk dan juga hala tuju perniagaan. Ianya juga mampu untuk meningkatkan kemahiran dan mengasah bakat dalam aktiviti perniagaan.

“Bekerja daripada rumah turut membawa maksud hampir sama dengan menghadiri kelas secara maya. Jadi, kami tidak perlu menghabiskan masa yang banyak untuk menjalankan perniagaan, tetapi masih mampu meningkatkan kemahiran dan mengasah bakat dalam aktiviti perniagaan.

“Boleh dikatakan bahawa SAP juga telah melakukan kerja dengan baik dalam usaha mempercepatkan proses peralihan kepada komunikasi dalam talian,” ujar Adam.

(Dari kiri) : Adam Helmi & Tengku Muhammad Shah, Pengasas Bersama HeyAlfred | Sumber : HeyAlfred

Menurutnya lagi, program ini turut bermanfaat untuk semua di mana pihak yang terlibat dalam menjayakannya berusaha keras bagi memastikan peserta dapat melakukan segalanya dengan baik. Meskipun, pelaksanaan program dilakukan sepenuhnya secara atas talian. Tetapi, mereka akui masih dapat menjalinkan perhubungan yang baik sesama peserta dalam membina rangkaian perniagaan. Bukan itu sahaja, malah mereka turut berpeluang berkerjasama dengan beberapa syarikat lain dari kohort yang sama setelah tamat program.

(Dari kiri) : Adam Helmi & Suhaimie Zulkifli, Pengasas Bersama HeyAlfred | Sumber : HeyAlfred

Dalam pada itu, Adam turut menyaran kepada mana-mana syarikat start-up yang masih keliru memilih hala tuju, SAP adalah saluran terbaik. Ramai mentor yang terlibat secara aktif sedia membantu dalam semua segi aspek.

“Sekiranya anda masih keliru dan tidak tahu di mana hendak bermula. Kami menyarankan Selangor Accelerator Programme (SAP) sebagai saluran terbaik untuk anda membuat langkah seterusnya dalam bidang start-up. Para mentor yang sedia membantu.

“Sudah tiba masanya untuk anda mengubah angan-angan perniagaan menjadi kenyataan! Henti cakap kosong. Pendek kata, buat sajalah!” katanya.

Info Lanjut : HeyAlfred

Kapitani – Pengurus Pertanian Moden Sistematik

Laman Web Rasmi Kapitani

Bersama satu lagi syarikat startup tempatan yang mahu memperkasakan budaya keusahawanan di kalangan pekebun kecil di Malaysia menerusi gabungan digital dan kewangan. Kapitani Sdn. Bhd. yakin bahawasanya mereka dapat memanfaatkan inovasi dalam teknologi pertanian bagi menyamaratakan medan persaingan di antara pekebun kecil dan penanam komersial.

Ia bagi memastikan para pekebun kecil dapat terus kekal berdaya saing dan merancakkan lagi kemajuan landskap dunia petani moden. Bukan itu sahaja, Kapitani turut akan bekerjasama dengan pekebun kecil bagi mempersiapkan mereka menghadapi cabaran teknologi pertanian 4IR yang melibatkan pelbagai aktiviti pertanian pintar seperti penggunaan dron, robot dan lain-lain lagi.

Aplikasi Pengurusan Pertanian, Kapitani

Ketua Pegawai Eksekutif Kapitani, Nazrul Hazeri Nazirmuddin berkata, disebabkan itulah mereka memperkenalkan aplikasi pengurusan pertanian bagi memudahkan proses penyimpanan rekod secara efisyen dan sistematik dalam kalangan pekebun kecil. Ia merangkumi perbelanjaan, aktiviti, pengeluaran dan hasil ladang. Ia bagaimanapun, masih dilabelkan sebagai beta dan hanya tersedia eksklusif untuk pengguna Android dengan jemputan sebelum dapat menggunakannya.

“Kami memperkasakan keusahawanan dalam kalangan petani dengan aplikasi pengurusan yang mudah digunakan.

Melaluinya, petani berupaya mengurus ladang mereka secara sistematik dan meningkatkan keuntungan menerusi hasil perniagaan yang dibantu oleh analisis data besar.

“Bukan itu sahaja, ia juga mampu meningkatkan keyakinan para petani dan memperkasakan mereka dengan data yang diperlukan untuk mula perancangan masa depan,” kata Nazrul.

Perancangan Akan Datang Kapitani

Disoal mengenai perancangan akan datang, Kapitani ingin membawa pelaburan awam ke sektor pertanian tempatan melalui model pembiayaan mikro P2P. Menurutnya, ia akan menyerupai pembiayaan sedia ada yang membolehkan pelabur memilih mana-mana petani berpotensi yang dapat memberikan pulangan pelaburan (Return on Investment) maksimum berbanding skor kredit yang diterima.

Jelas Nazrul, peranan Kapitani adalah bagi memudahkan proses persetujuan mikro pinjaman pertanian untuk mempercepatkan tujuan dokumentasi atau pengesahan, di samping bantu menurunkan kos pinjaman. Selain itu, mereka turut memberikan skor kredit para petani kepada pelabur pembiayaan sebagai rujukan.

“Kami juga menilai kelayakan kredit para petani berdasarkan data dan analisis yang digabungkan daripada aplikasi. Penarafan kredit kami direka khusus untuk penilaian risiko yang adil bagi memastikan hanya yang benar-benar layak dapat meneruskan pembiayaan,” jelasnya lagi.  

Sekitar persidangan, Selangor Budget Dialogue 2021
(Dari kiri ): Iskandar Mohd Lot, COO Kapitani; Yang Amat Berhormat Dato ‘Seri Amirudin Bin Shari, Menteri Besar Selangor & Nazrul Hazeri Nazirmuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kapitani | Sumber : Kapitani

Sementara itu, bercakap mengenai Selangor Accelerator Programme (SAP) pula, Nazrul berkata, apa yang mereka dapat dengan mengikuti program berkenaan adalah kemudahan mengakses ke rangkaian pembuat dasar Sidec, komuniti start-up, mentor dan pelabur. Bagi Nazrul, jalinan dan hubungan yang baik adalah sangat penting untuk syarikat startup yang ingin memperluas jangkauan.

“Jaringan dan hubungan yang baik sangat penting untuk syarikat statup seperti kami kerana kami memerlukan pendedahan bagi mendapatkan rakan kongsi yang berpotensi atau capaian kepada dana untuk masa akan datang.

“Sebagai contoh, kami dijemput dan diberi peluang untuk menyertai Selangor Budget Dialogue 2021 bersama Kerajaan Negeri Selangor sebagai salah satu syarikat startup terpilih dalam sektor pertanian.

“Kami turut diberi peluang untuk menyampaikan idea kepada Kerajaan Negeri Selangor sebagai sebahagian daripada usaha persidangan berkenaan,” kata Nazrul.

Sekitar Pengenalan Petani Kepada Aplikasi Kapitani
(Dari kiri ke kanan): Nurul Halizan Binti Ahmad Dewi, petani cili; Nazrul Hazeri Nazirmuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kapitani & Iskandar Mohd Lot, COO Kapitani | Sumber : Kapitani

Justeru katanya, mereka beranggapan pengalaman berkenaan adalah suatu peluang yang penting kerana berpeluang berkongsi bukan sahaja idea kepada pembuat dasar. Bahkan, turut mendapat maklum balas sendiri daripada perspektif seorang pemerintah. Bukan itu sahaja, hal berkenaan juga telah meyakinkan bahawa mereka telah berada di landasan yang betul kerana kerajaan negeri juga sedang melihat pelaksanaan agritech untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan jaminan makanan.

“Di sini, kami ingin merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping kerana telah menghubungkan kami dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Pasar Borong Selangor dalam usaha mendigitalkan rantaian bekalan pertanian di Selangor,” kata Nazrul.

Nazrul turut menyarankan kepada mana-mana startup agar tidak melepaskan peluang untuk menyertai Selangor Accelerator Programme (SAP) apabila pendaftaran dibuka. Katanya, ia adalah salah satu program startup terbaik dengan sokongan pihak penganjur yang mesra startup, banyak membantu dan berdedikasi. Menurutnya lagi, para startup juga masih boleh mendapat pelbagai faedah daripadanya meskipun selepas tamat program.

Info Lanjut : Kapitani

Tahun 2021 merupakan kali keempat program ini diadakan. Untuk kali ini, SAP 2021 akan memberi tumpuan kepada beberapa segmen dengan pembudayaan norma baharu – seperti teknologi perbankan (Fintech), e-dagang (e-Commerce), perbandaran pintar (Smart City), teknologi pertanian (Agritech) dan teknologi hijau (Greentech). Meskipun begitu, program ini turut mengalu-alukan penyertaan daripada mana-mana syarikat startup lain yang mempunyai penyelesaian inovatif untuk diterapkan.

Program yang mendapat sokongan kerajaan negeri Selangor melalui Perbadanan Teknologi Maklumat & Ekonomi Digital Selangor (Sidec) turut menampilkan Affin Bank sebagai penaja utama. Selain, turut disokong oleh beberapa rakan strategik lain seperti The Hive Southeast Asia dan Tuas Capital Partners.

Sebanyak 30 syarikat startup yang berpotensi dialu-alukan untuk mengambil bahagian dalam program ini. Turut ditawarkan, hadiah lumayan berupa wang tunai sebanyak RM50,000 untuk dimenangi. Di samping itu, para pemenang juga bakal menerima sokongan bimbingan daripada mentor yang berpengalaman melalui bengkel komprehensif bagi memperoleh pendedahan menarik berkaitan industri perniagaan.

Bagi yang berminat, pendaftaran untuk SAP 2021 telah dibuka sehingga 14 Julai 2021. Anda dinasihatkan untuk menghantar permohonan sebelum tarikh tutup permohonan. Mana-mana syarikat startup yag terpilih akan memulakan program pada 28 Julai sehingga 5 September 2021. Maklumat lanjut, sila layari pautan rasmi Sidec.

Penafian : Advertorial Dari SIDEC

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami