Konsep peranti pintar gaming dipopularkan oleh nama-nama seperti ASUS, Razer dan Xiaomi sekitar tiga ke empat tahun lepas apabila kita memperlihatkan peranti-peranti seperti ROG Phone, Razer Phone dan juga Black Shark.
Beberapa tahun sudah berlalu, dan pelbagai pembaharuan dapat diperlihatkan melalui jenama-jenama yang terdapat di pasaran sekarang. ASUS dilihat memasarkan peranti ROG Phone 5 sebagai peranti pintar gaming kelas mercu yang mana ia adalah salah satu daripada beberapa peranti yang dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 888 terbaru dan juga fungsi-fungsi yang dilihat sangat berguna kepada seorang gamer.
Dimana ASUS melangkaui nombor 4 untuk hadir dengan peranti tersebut, Black Shark tidak menghiraukan sebarang kepercayaan khurafat ini dan mengekalkan nama modelnya, dan peranti gaming terbaru mereka, Black Shark 4 bukan sahaja hadir dengan komponen-komponen terbaru, tetapi juga mempunyai penambahbaikan fizikal yang membuatkannya bukan sahaja peranti gaming yang baik, tetapi juga sebagai sebuah peranti pintar yang sangat berguna.
Spesifikasi Dan Rekaan
Black Shark 4 | |
---|---|
Skrin | 6.67″ Super AMOLED 1080×2400, 144Hz |
Pemproses | Snapdragon 870 (7nm) |
Cip | 1x 3.2 GHz Kryo 585 3x 2.42 GHz Kryo 585 4x 1.80 GHz Kryo 585 |
Cip Grafik | Adreno 650 |
RAM | 8/12 GB LPDDR4X |
Muatan Dalaman | 128/256 UFS 3.1 |
Kamera Utama | 48+8+5 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4 Mod malam, Kamera AI |
Kamera Swafoto | 20 Megapixel f/2.0 |
Bateri | 4500mAh Pengecasan berwayar 120W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari di sisi |
Harga Jualan | RM2499/RM2999 |
Bermula dengan rekaan peranti ini, Black Shark 4 dilihat hadir dengan rekaan yang lebih minimalis berbanding dengan Black Shark 3 sebelum ini.
Black Shark 4 hadir dengan paparan skrin bersaiz 6.67 inci dan mempunyai resolusi 1080×2400 dengan kadar segar semula 144Hz. Ia menggunakan panel Super AMOLED keluaran Samsung, yang merupakan diantara paparan terbaik yang boleh digunakan untuk tujuan menonton kandungan dan bermain permua selain daripada menggunakan paparan OLED.

Salah satu perkara yang saya suka mengenai kehadiran ciri kadar segar semula yang tinggi pada peranti pintar ialah kadar tatalan yang sangat lancar sekali, dan dengan Black Shark 4, penatalan menu dan antaramuka sistem operasi peranti ini adalah sangat baik.
Sokongan untuk kadar segar semula tinggi pada aplikasi-aplikasi permua khususnya masih berada pada tahap yang rendah, akan tetapi ini bukanlah isu peranti ini, dan apabila suatu hari tiba dimana permua-permua semuanya hadir dengan sokongan tersebut, Black Shark 4 ini sedia menantinya.
Di bahagian sisi kiri peranti ini kita dapat lihat butang kuasa peranti ini yang juga dilengkapi dengan pengimbas cap jari terbina didalamnya. Di bahagian atas dan bawah sisi peranti ini pula ialah dua butang pintas fizikal, yang mana sebelum ini diperkenalkan melalui Black Shark 3.

Butang kawalan audio berada pada bahagian kanan peranti, manakala palam pengecasan USB Type-C dan palam audio 3.5mm terletak di bahagian bawah peranti.
Di bahagian belakang peranti ini ialah sistem tri-kamera yang terdiri daripada kamera 48MP, 8MP dan 5MP yang mana ia adalah kamera biasa, kamera ultra-lebar dan kamera mikro.
Apa Dalam Kotak?
Untuk menerangkan secara ringkas apa yang ditawarkan oleh Black Shark didalam kotak peranti mereka, kita boleh lihat bahawa ia hadir dengan peranti Black Shark 4 itu sendiri, sebuah pakej kecil yang mengandungi risalah mengenai peranti ini, dan juga sebuah pengecas 120W dan kabel USB-C yang boleh digunakan untuk mengecas peranti ini.

Dikala banyak jenama peranti yang mengatakan bahawa mereka mahu menyelamatkan alam sekitar dengan tidak menawarkan plag pengecasan, Black Shark dilihat menawarkan pengecasan 120W yang menjanjikan pengecasan penuh dari kosong ke 100 peratus dalam masa sekitar 15 minit sahaja.
Jika terdapat satu kekurangan dalam kotak Black Shark 4 ini, mungkin ia adalah penawaran fon telinga, tetapi dikala orang ramai rata-rata sudahpun memiliki fon telinga nirwayar TWS mereka sendiri, ini bukanlah satu kekurangan yang begitu ketara, malah lebih baik daripada tidak menawarkan plag pengecasan, yang pada hemat saya ialah sesuatu yang lebih penting lagi, khususnya kerana pengecas yang diberi adalah sebuah aksesori yang cukup premium sekali.
Sistem Operasi Dan Perisian
Black Shark 4 digerakkan dengan sistem operasi Android 11 yang menggunakan antaramuka JoyUI 12.5 yang pada pendapat saya mempunyai gabungan rekaan Android yang sempoi dan antaramuka gamer yang membuatkannya kelihatan moden, yang mana orang ramai akan tahu bahawa ini adalah sebuah peranti gaming, tetapi tidaklah begitu menjengkelkan.

Dari segi penawaran perisian, Black Shark 4 hadir dengan sejumlah ciri-ciri menarik, seperti always-on display, Sunlight Mode yang meningkatkan kecerahan paparan sekiranya anda sering menggunakan peranti pintar anda dibawah cahaya matahari untuk mengurangkan masalah silau.
JoyUI secara ringkasnya ialah antaramuka MIUI yang diubahsuai sedikit untuk menjadikan sistem operasi peranti Black Shark 4 ini hadir dengan personalitinya tersendiri pada pendapat saya, ia cukup kemas dan senang untuk dinavigasi, tetapi dengan sekilas pandang anda akan tahu bahawa ini adalah sebuah peranti pintar gaming.

Kembali ke Black Shark 4 ialah perisian Shark Space yang membolehkan anda mengubahsuai pelbagai jenis tetapan pada permua-permua anda dengan cepat. Jika Black Shark 3 hadir dengan butang fizikal yang membolehkan anda mengakses Shark Space dengan cepat, ia diganti dengan pintasan yang boleh ditatal melalui skrin sahaja pada peranti ini.
Penggunaan perisian Shark Space ini tidaklah begitu sukar, tetapi satu kritikan yang saya akan berikan ialah tidak seperti perisian lain yang boleh dipasangkan pada peranti ini, anda wajib menekan butang keluar untuk keluar daripada perisian ini. Kami tidak tahu mengapa Black Shark memikirkan ia adalah idea yang baik untuk menyukarkan pengguna daripada keluar dari perisian tersebut, tetapi pada hemat saya ia adalah sesuatu yang perlu saya beritahu didalam ulasan ini.

Shark Space juga boleh diakses dengan mudah didalam permua. Anda hanya perlu menatal dari hujung paparan dan anda boleh menukar tetapan pintasan butang bahu fizikal, menambahkan antaramuka suhu dan kadar bingkai permua dan sebagainya dengan cepat dan mudah.
Butang Pintas Fizikal
Berbeza dengan Black Shark 3, kali ini “gimik” butang pintas fizikal ini sebenarnya sangat berguna. Tidak seperti sebelum ini, butang pintas ini boleh diaktifkan secara fizikal walaupun anda tidak mengaktifkan sebarang permua.
Ini bermakna bahawa butang bahu sebelum ini yang hanya boleh digunakan dengan permua sahaja kini hadir dengan fungsi yang lebih praktikal, dan bukan sekadar sebuah gimik yang hanya menjadikannya berguna dalam beberapa situasi tertentu sahaja.

Berbeza dengan penawaran sebelum ini, butang bahu fizikal Black Shark 4 boleh diaktifkan melalui togel fizikal yang mana pengguna boleh mengakses sebuah menu pintasan untuk menetapkan dua pintasan kegemaran untuk dua butang fizikal tersebut dengan cepat dan mudah.
Bukan itu sahaja, butang fizikal ini boleh diaktifkan satu persatu, tidak seperti Black Shark 3 dimana butang-butang pepintas ini hanya boleh diakses apabila permua diaktifkan, dan kedua-dua butang pepintas ini akan diaktifkan secara serentak.

Walaupun begitu, fungsi utama butang-butang sisi fizikal ini ialah sebagai butang fizikal yang menyerupai butang-butang bahu pada sebuah pengawal permainan konsol. Sama seperti pada peranti Black Shark 3, pengguna boleh menetapkan pintasan pada permua melalui perisian terbina dengan mudah.

Menariknya, setiap pintasan adalah berbeza bergantung kepada permua yang dimainkan, jadi pengguna tidak perlu menetapkan lokasi pintasan butang semula apabila mereka memainkan permainan yang berlainan. Bukan itu sahaja, pengguna juga boleh menetapkan sendiri samada mereka mahu mengaktifkan butang-butang pintasan ini ataupun tidak.
Aksesori
Seperti peranti Black Shark 3 sebelum ini, Black Shark 4 juga hadir dengan sokongan untuk aksesori tambahan seperti pengawal permua, kipas penyejuk dan rangka peranti. Apa yang menarik di sini ialah Black Shark tidak mengeluarkan sebarang aksesori baru untuk Black Shark 4, yang mana jika anda sudahpun memiliki aksesori-aksesori Black Shark 3, kesemuanya boleh digunakan pada peranti ini tanpa masalah.

Pada pendapat saya ini adalah solusi yang lebih jimat wang berbanding dengan penawaran ROG Phone 5, yang mana lebih kurang daripada aksesori ROG Phone 3 tidak boleh digunakan pada peranti baru itu. Dari aspek ini, Black Shark 4 semestinya peranti yang lebih baik dari segi penjimatan wang.

Jika anda baru kepada ekosistem aksesori gaming Black Shark, aksesori-aksesori ini boleh dibeli melalui kedai atas-talian Black Shark 4 di Shopee pada harga yang boleh dikatakan agak mampu milik. Ini termasuklah pengecas HyperCharge 120W yang membolehkan peranti ini dicas dari kosong ke penuh dalam sekitar 15-20 minit.
Kamera
Black Shark 4 dilengkapi dengan sistem tri-kamera 48MP+8MP+5MP di bahagian belakang peranti ini, dan kamera 20MP di bahagian depan. Untuk sebuah peranti yang lebih memfokuskan kepada prestasi gaming, kualiti kamera Black Shark 4 boleh saya katakan cukup baik untuk kegunaan harian.

Kehadiran lensa ultralebar dan makro memberi pengguna pelbagai jenis pilihan untuk jenis-jenis gambar yang mahu diambil, yang mana kesemuanya cukup sesuai digunakan untuk perkongsian di platform media sosial yang popular.




Dari segi penggunaan kamera harian, kamera Black Shark 4 ini menunjukkan kualiti gambar yang cukup baik, khususnya di kawasan terbuka yang mempunyai cahaya yang mencukupi untuk ditangkap oleh lensa-lensa kamera ini. Kamera ultra-lebar dan ciri makro juga berfungsi tanpa memperlihatkan begitu banyak isu rubber-banding


Dari segi penggunaan di kawasan gelap, ataupun waktu malam, kualiti kamera ini memperlihatkan isu noise yang agak ketara, khususnya apabila pencahayaan objek tidak mencukupi. Akan tetapi pada hemat saya, oleh kerana ia dapat dilihat bahawa fokus Black Shark 4 adalah kepada pengalaman gaming berbanding dengan kamera yang hebat, ini adalah suatu kekurangan yang akan dijangkakan oleh
Pengalaman Pengguna
Qualcomm melancarkan cip pemprosesan Snapdragon 888 dan Snapdragon 870 sekitar masa yang sama sebagai dua cip pemprosesan kelas premium dan kelas mercu mampu milik. Qualcomm Snapdragon 888 digunakan dalam peranti Black Shark 4 Pro yang sayangnya tidak, atau belum memasuki pasaran tempatan, manakala Qualcomm Snapdragon 870 digunakan untuk model asas Black Shark 4.
Peranti ini hadir dengan beberapa konfigurasi, tetapi model yang diberikan kepada kami hadir dengan konfigurasi memori 12GB dan storan dalaman 128GB. Untuk pasaran tempatan, terdapat juga konfigurasi memori yang sama dengan storan 256GB jadi jika anda memerlukan lebih banyak storan untuk permua-permua kegemaran anda, model tersebut mungkin lebih sesuai untuk anda khususnya kerana Black Shark 4 tidak mempunyai slot pengembangan storan.

Bermula dengan penggunaan peranti ini secara umum, antaramuka Black Shark 4 pada pendapat saya cukup kemas, walaupun seperti apa yang saya katakan sebelum ini, dengan antaramuka JoyUI 11.5 ini, ia masih lagi memberi pemilik peranti ini perasaan bahawa mereka memiliki sebuah peranti gaming yang mempunyai prestasi peranti kelas premium.
Mengakses menu tetapan dan juga sejumlah pintasan sistem adalah semudah menatal menu notifikasi ke bawah yang mana anda boleh mengubahsuai pintasan tetapan. Selain daripada itu, menatal menu bahagian sisi atas kanan peranti ini akan membuka menu Control Centre, iaitu pintasan untuk empat aplikasi ataupun fungsi peranti yang anda sering gunakan. Jika anda seperti saya yang hanya mempunyai sejumlah kecil aplikasi aktif dan tidak mahu menyesakkan halaman peranti, pintasan Control Centre ini cukup berguna sekali.

Pada pendapat saya, peranti dengan paparan kadar semula tinggi seperti 144Hz masih lagi sebuah gimik kerana tidak banyak permua di pasaran sekarang yang memanfaatkan sepenuhnya fungsi tersebut. Walaupun begitu, jika anda jenis yang suka menatal skrin pada sistem operasi dengan banyak, anda dapat memperlihatkan perbezaan yang ketara apabila dibandingkan dengan paparan yang mempunyai kadar segar semula 60Hz sahaja. Secara ringkasnya, kelancaran menatal menu pada peranti Black Shark 4 ini hampir tiada tolok bandingan.
Black Shark 4 hadir dengan bateri bersaiz 4500mAH, yang mana untuk sebuah peranti pintar berspesifikasi “gaming”, tidaklah begitu besar, khususnya apabila dibandingkan dengan peranti-peranti gaming lain seperti ROG Phone 5 ataupun Lenovo Legion 2 yang masing-masing mempunyai bateri bersaiz 6000mAH dan 5500mAH.

Walaupun begitu, kelebihan Black Shark 4 disini ialah anda boleh memilih untuk membeli pengecas Hyper Charge 120W yang boleh mengecas peranti ini dari kosong ke penuh dalam masa 15 ke 20 minit sahaja. Sayangnya untuk pasaran Malaysia, pengecas ini perlu dibeli secara berasingan, dan pengecas yang diterima dalam kotak untuk pasaran ini, dan pasaran di luar China ialah pengecas Hyper Charge 67W yang juga dilengkapi dengan kabel USB Type-A ke USB Type-C yang boleh mengecas peranti ini ke 100 peratus dalam masa sekitar setengah jam ke 40 minit.
Walaupun begitu, tanpa pengecas 120W, pengecas 67 Watt yang diberi bersama-sama dengan peranti ini boleh mengecas peranti ini dari kosong ke penuh dalam masa sekitar 40 minit sahaja yang mana pada pendapat saya, cukup pantas khususnya di waktu ini dimana kita hanya duduk di rumah.
Dalam pengalaman saya menggunakan peranti ini semasa mengecas, saya tidak menghadapi sebarang masalah panas walaupun peranti ini mengecas bateri dengan kadar yang agak pantas. Ini adalah sesuatu yang sangat baik khususnya untuk anda yang gemar menggunakan peranti dengan pengecas untuk memainkan permua-permua kegemaran anda.
Satu kelemahan utama pengecas ini dalam pengalaman saya menggunakan Black Shark 4 ini ialah oleh kerana pengecasnya menggunakan palam dua pin, ada kebarangkalian besar bahawa ia akan mudah tercabut apabila sedang mengecas.
Perkara ini beberapa kali berlaku kepada saya dan memaksa saya untuk menggunakan pengecas GaN saya sendiri untuk mengecas peranti ini dengan lebih stabil.
Bercakap mengenai permua, walaupun perbezaan dapat dilihat dari segi skor perisian penanda-aras jika dibandingkan dengan peranti yang menggunakan cip Snapdragon 888, prestasi masa nyata Black Shark 4 yang menggunakan Snapdragon 870 boleh saya katakan hampir setanding dengan peranti kelas premium tersebut.
Audio peranti Black Shark 4 pada pendapat saya adalah sangat baik sekali, khususnya dari segi keseimbangan audio melalui pembesar suara terbina yang terletak di bahagian kiri dan kanan peranti ini apabila ia digunakan dalam orientasi melintang. Apabila digunakan untuk menonton video apabila diletakkan di permukaan yang rata.
Akan tetapi, kualiti audio tersebut akan malap apabila anda memegangnya untuk memainkan permua, yang mana satu cara untuk mengelakkan masalah itu ialah untuk menggunakan fon telinga TWS ataupun berwayar melalui palam audio 3.5mm yang terbina.
Pengalaman Gaming
Dua permua yang banyak diperkatakan kebelakangan ini ialah Genshin Impact dan juga Punishing Gray Raven, yang mana mereka adalah permainan aksi RPG yang mempunyai keperluan grafik yang agak tinggi untuk digerakkan secara lancar.
Bermula dengan Punishing Gray Raven, permua ini yang baru sahaja keluar sekitar dua minggu lalu dilihat agak popular dikalangan peminat permua aksi lain seperti Honkai Impact yang mana ia memperlihatkan mekanik yang lebih kurang sama.
Black Shark 4 dilhat tiada masalah menggerakkan Punishing Gray Raven pada tetapan grafik paling tinggi pada kadar segar semula 60FPS yang memperlihatkan aksi yang cukup pantas sekali yang menggabungkan kombinasi serangan biasa dan serangan istimewa.

Untuk Genshin Impact pula, ini mungkin mengejutkan anda, tetapi Black Shark 4 juga mampu menggerakkan permainan ini pada kadar segar semula 55-60FPS tanpa begitu banyak masalah pada tetapan grafik sederhana. Jujur saya katakan pada saiz skrin 6.67 inci ini, saya selesa mengurangkan tetapan grafik untuk kadar segar semula yang lebih lancar kerana permua ini agak mementingkan kadar bingkai yang setinggi mungkin untuk tujuan i-frame.
Diantara Genshin Impact dan Punishing Gray Raven, suhu peranti Black Shark 4 boleh dilihat setinggi 40-43 darjah Celcius apabila memainkan pemua-pemua ini. Ya ia agak panas, tetapi bukanlah pada tahap bahawa ia tidak selesa dipegang ataupun memberi masalah kepada komponen-komponen dalam peranti, khususnya sistem kamera.
Dalam aspek ini, pada hemat saya penggunaan cip Qualcomm Snapdragon 870 berbanding dengan Qualcomm Snapdragon 888 lebih sesuai khususnya kerana walaupun dengan CPU yang lebih berkuasa itu, permua-permua popular hari ini mempunyai kadar bingkai yang dihadkan pada 60FPS sahaja.

SoC Qualcomm Snapdragon 888 tiada masalah menggerakkan permainan walaupun peranti mempunyai suhu yang menggelegak, tetapi Snapdragon 870 adalah pilihan yang jauh lebih masuk akal, khususnya jika anda sayang jari-jemari anda dan tidak mahu ia melecur dek haba yang dikeluarkan SoC tersebut.
Tambahan kepada itu, suhu peranti dapat diturunkan lagi dengan penggunaan Black Shark FunCooler sekiranya anda memilikinya daripada peranti Black Shark 3 sebelum ini, ataupun anda membeli penyejuk yang baru.
Satu aspek yang boleh saya katakan ialah kelemahan terbesar untuk peranti Black Shark 4 ini ialah saiz storannya. Pilihan 128GB/256GB
Kesimpulan
Jujur saya katakan bahawa Black Shark 4 ini adalah salah satu peranti pintar dengan fokus gaming yang terbaik dari segi penawaran spesifikasi, fungsi dan harga. Benar, peranti yang dikuasakan Qualcomm Snapdragon 888 ialah peranti dengan spesifikasi dan prestasi yang terbaik di pasaran, tetapi setelah menggunakan beberapa peranti yang dikuasakan CPU tersebut, saya boleh katakan masih tiada jenama yang boleh memaksimakan potensi CPU ini dan mengekalkan suhu yang rendah.

Black Shark 4 telah bertaruh untuk menggunakan Snapdragon 870 dan berjaya menunjukkan bahawa ia cukup berkuasa untuk menggerakkan semua jenis permua baru dan moden tanpa perlu berbelanja RM4000-RM5000 untuk sebuah peranti pintar.
Bukan itu sahaja, Black Shark sedar bahawa mereka mempunyai ramai pengikut yang setia, dan oleh kerana ini, telah mereka Black Shark 4 dengan memastikan bahawa semua aksesori-aksesori lama mereka boleh digunakan pada peranti baru ini tanpa sebarang masalah.

Pada pendapat saya, jika anda baru kepada ekosistem Black Shark, saya sarankan anda mendapatkan penyejuk Fun Shark Cooler untuk pengalaman gaming jangka-masa panjang yang paling selesa. Kekurangan paling utama di sini ialah ia akan menambahkan berat peranti anda, tetapi saya boleh katakan ia adalah sebuah pelaburan jangka-masa panjang, khususnya kerana ia juga boleh digunakan dengan peranti-peranti lain tanpa masalah.
Pro
- Harga mampu milik untuk sebuah peranti pintar kelas gaming
- Prestasi Qualcomm Snapdragon 870 tidak kalah kepada Snapdragon 888
- Butang pintas fizikal yang bukan gimik semata-mata
- Pengecasan Hyper Charge 67W yang pantas mengecas peranti
- Sokongan aksesori sepenuhnya dari generasi sebelum ini
Kontra
- Rekaan biasa
- Pembesar suara sisi yang malap apabila ditutupi tangan bila digunakan dalam mod melintang
- Bateri bersaiz 4500mAH
- Masih tidak banyak aplikasi yang menyokong kadar segar semula 144Hz
- Tidak boleh menambah jumlah storan
