Cari @ Amanz

Ciri paling menarik pada Windows 11 pastinya ialah sokongan menjalankan aplikasi Android terus dari sebuah komputer. Tetapi menerusi kerjasama Amazon Appstore, bilangan aplikasi yang boleh dimuat turun menerusi gedung aplikasi rasmi adalah terhad pada peringkat awal. Ramai pastinya risau aplikasi yang ingin digunakan tidak ditawarkan.

Tetapi menurut ciapan seorang jurutera di Microsoft, pengguna akan dibenarkan melakukan pemasangan aplikasi di luar gedung aplikasi secara “sideloading“. Tidak diketahui sama ada ia semudah memuat-turun APK pada sebuah peranti Android. Malahan Microsoft sendiri belum berkongsi sepenuhnya bagaimana penggunaan aplikasi Android 11 akan dilakukan melainkan ia menerusi teknologi Intel Bridge.

Walaupun dimiliki Intel, teknologi ini akan turut diberikan kepada peranti Windows 11 yang menggunakan cip AMD dan ARM dalam masa terdekat. Ia juga akhirnya merealisasikan impian pengguna Windows Phone yang dahulunya meminta sokongan aplikasi Android yang lebih baik. Biar lambat asalkan dapat.

Untuk makluman, Microsoft sedia membolehkan pengguna memasang fail berbentuk .EXE dengan mudah pada komputer. Sama-sama kita nantikan sama ada pemasangan APK pada Windows 11 kelak akan menawarkan pengalaman lebih kurang sama, atau berbeza.

(Sumber Android Police)

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd