Rekaan Honor X20 SE Tertiris Menunjukkan Sistem Tri-Kamera Pada Bahagian Belakang

Diterbitkan pada Jun 28, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada 16 Jun yang lalu, Honor telah memperkenalkan siri Honor 50 yang terdiri dengan tiga model iaitu Honor 50, Honor 50 Pro dan Honor 50SE. Malah, siri berkenaan juga dikatakan telah berjaya mencatatkan angka jualan memberangsangkan bernilai lebih 500 juta yuan pada jualan pertamanya.

Dalam perkembangan terkini, Honor nampaknya dalam persediaan untuk pengenalan peranti baharu tidak lama lagi. Peranti pintar berkenaan adalah Honor X20 SE dan rekaannya kini telah diperlihatkan menerusi beberapa imej sebenar tertiris di Weibo milik Digital Chat Station.

Jelas kelihatan, Honor X20 SE akan mempunyai paparan hadapan berlubang pada bahagian tengah untuk kamera swafoto dengan lensa tunggal. Di samping, saiz bezel yang seimbang pada bahagian sisi dan atas peranti. Turut kelihatan, terdapatnya sokongan sistem tri-kamera utama yang disusun secara menegak pada panel belakang. Bukan itu sahaja, ianya juga bakal hadir dalam beberapa kemasan cerun yang menarik seperti hijau dan merah jambu.

Menurut desas-desus, terdapat sekurang-kurangnya dua model berbeza yang akan diperkenalkan iaitu Honor X20 dan Honor X20 SE. Di mana, Honor X20 dipercayai menggunakan cip MediaTek Dimensity 1200. Sementara itu, Honor X20 SE pula akan dilengkapi cip MediaTek Dimensity 700. Bukan itu sahaja, Honor X20 SE juga dikhabarkan hadir dengan skrin 120Hz, sensor utama 64-Megapixel dan bateri 4,300mAh yang menyokong pengecasan 66W.

Buat masa ini, tiada sebarang maklumat lanjut mengenai pelancarannya. Tetapi dengan ketirisan ini, kita mungkin akan dapat melihat pengenalannya tidak lama lagi.

Sumber : Sparrow News

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami