Cari @ Amanz

Audio ialah ciri yang dianaktirikan dalam pembelian pelbagai telefon pintar, komputer riba, televisyen dan tablet. Ini adalah kerana kita sebagai manusia lebih mementingkan visual. Jika kos perlu dikurangkan, audio ialah ciri pertama yang dikorbankan. Oleh itu tidak mengejutkan apabila kita kini hidup dalam norma baharu dan memerlukan sesi telesidang setiap hari untuk mesyuarat atau PdPR, kekurangan kemampuan audio pada peranti yang dimiliki mula disedari.

SonicGear Sonic Shuttle ialah speaker mudah alih yang mula ditawarkan di Malaysia ketika pandemik. Dengan saiznya yang kompak, ia dipasarkan sebagai penyelesaian murah kepada isu audio kurang memuaskan pada peranti yang sudah dimiliki? Adakah Janji Tinggal Janji seperti kumpulan KRU ataupun SonicGear berjaya menepatinya seperti Najib Razak? Ulasan mini ini akan menjawab persoalan ini.

SonicGear Sonic Shuttle
Pemacu audioStereo, 2X 52mm
Bateri5200 mAh (10W USB-C)
Sokongan tambatanBluetooth 5.0
Sokongan mediaMikro SD, pemacu USB
Bicu audio3.5mm
LampuRGB
Sokong aplikasiAndroid, iOS
Saiz200x90x44.5 mm
Berat410 gram
HargaRM 199

SonicGear Sonic Shuttle ialah speaker bluetooth mudah alih yang kami kategorikan sebagai kompak kerana hanya berukuran 200x90x44.5 mm dan hanya seberat 410 gram. Keseluruhan tubuh diperbuat daripada plastik bagi mengurangkan lagi berat dengan hanya bahagian kekisinya sahaja diperbuat daripada logam. Dari segi rekaan Sonic Shuttle mengingatkan kami kepada rekaan agresi “futuristik” yang amat popular sekitar awa 2010.

Ini adalah car lembut untuk kami mengatakan rekaan Sonic Shuttle adalah sedikit retro jika dibandingkan dengan estetik yang tidak menyukai permukaan data dan sudut tepat zaman sekarang. ia mungkin tidak kontemporari tetapi ia masih lagi praktikal. Tidak ada satupun elemen rekaan yang digunakan menyusahkan dan itu adalah lebih dari cukup pada pendapat kami.

Dua pemacu audio sebesar 52mm digunakan dengan output kuasa gabungan 30W diletakkan pada bahagain atas. Ini ialah kuasa yang lebih tinggi dari yang ditawarkan kebanyakan televisyen pintar, komputer riba dan fon kepala di pasaran. Saiz pemacu audionya sahaja adalah lebih besar jika kami bandingkan dengan yang digunakan pada AirPods Max dan Sony WH1000XM4 yang kedua-duanya dilengkapi pemacu sebesar 40mm sahaja. Dengan pemacu yang besar, SonicGear cuba menawarkan audio yang lebih “besar” walaupun pada produk yang tubuhnya bersaiz kecil.

Pada bahagian hadapan terdapat barisan lampu RGB yang boleh diubah oleh pengguna. Kami bukanlah golongan sasaran Sonic Shuttle kerana tidak berapa gemar aksesori yang terlalu flashy. Tetapi Sonic Shuttle direka sebagai sistem audio mudah alih kemungkinan besar ia digunakan untuk hiburan di luar rumah. Maka lampu RGB yang disertakan boleh memberikan suasa seperti sedang berparti. Kepada mereka yang tidak gemarkan lampu lip lap yang aktif sepanjang masa sehingga memakan bateri, berita baik kami kepada anda ialah ia boleh dimatikan sekiranya perlu.

Pada bahagian atas dihimpit oleh dua pemacu audio ialah pad sesentuh untuk mengawal laras audio, tambatan, TWS, lampu dan mematikannya. SonicGear menggunakan butang sesentuh yang kami rasakan sedikit kurang konvensional sehingga menyukarkan. Kami akan menyentuh lebih banyak mengenai pad sesentuh ini di bahagian penggunaan di bawah kelak.

Sonic Shuttle menyokong tambatan secara nirwayar menggunakan bluetootht 5.0. Sebuah aplikasi telefon pintar memudahkan proses menambat serta kawalannya. Tetapi kami mendapati proses penggunaan masih boleh dilakukan tanpa pemasangan aplikasi terlebih dahulu. Selain itu masih terdapat bicu audio 3.5mm untuk sambungan secara berwayar.

Bagi mereka yang masih memuat turun MP3 pada tahun 2021, sebuah slot kad mikro SD dan USB-A turut disertakan. Ya masih ada sokongan kad mikro SD dan USB-A yang harus kamu akui jarang sekali diberikan pada aksesori audio moden. Walaupun terdapat port USB-C untuk pengecasan, malang sekali ia tidak boleh digunakan sebagai input audio. Tetapi mengkritik tiadanya sokongan ini mungkin tidak adil kerana ia sudahpun menawarkan pelbagai mod sambungan lain yang lebih kerap digunakan.

Bagi mereka yang mencari aksesori dengan pelbagai pilihan input, Sonic Shuttle memang langsung tidak mengecewakan. Cukup mewah dan pemurah jika dibandingkan dengan pengeluar aksesori lain yang menawarkan 60% sokongan input berbanding Sonic Shuttle.

Hanya dua ciri yang tiada tetapi kami benar-benar rindukan ialah sokongan tambatan secara NFC dan kalis air. Pengalaman penggunaan pastinya menjadi lebih mudah jika audio dar telefon boleh dimainkan pada Sonic Shuttle secara sentuhan NFC sahaja. Kerana ia speaker mudah alih, sokongan kalis percikan air sekalipun kami rasakan sudah memadai. Ini adalah berasaskan pengalaman memiliki beberapa speaker mudah alih sebelum ini rosak apabila air terpercik dari kolam sehingga merosakkan litar.

Pengalaman Penggunaan

Proses menambat adalah mudah. Hidupkan speaker dengan menekan butang fizikal pada bahagian belakang dan ia terus ke mod mencari tambatan bluetooth. Pada telefon-telefon pintar Android, Apple dan Huawei yang kami gunakan sepanjang ulasan ini dapat dilakukan dengan sifar masalah. Malahan semasa mengulas projektor Lumos Auro tempoh hari, proses tambahan juga boleh dilakukan dengan mudah sekaligus menyelesaikan masalah audio kurang mantap pada projektor tersebut.

Walaupun boleh digunakan tanpa aplikasi, kami menyarankan penggunaan aplikasi SonicGo! 2 untuk aksesori Sonic Gear. Ini adalah kerana ia membolehkan lebih banyak lagi kustomasi lampu LED seperti warna, bagaimana ia berkelip, kawalan muzik dari kad mikro SD, kawalan muzik dari pemacu USB dan radio. Ya terdapat sokongan radio menerusi aplikasi SonicGo! 2 bagi mereka yang masih ingin mendengar DJ radio mengilai apabila mendengar jenaka kendiri yang kelakar.

Sistem kawalan lampu LED RGB yang diberikan adalah pelbagai dan paling penting sekali mudah dipakai. Tekan sahaja warna yang diingini dari roda warna. Kemudian pilih mod kerlipan warna seperti Random, Breathing, Single, Rhythm, Rainbow, Rave dan Campfire. Seperti yang kami katakan di awal artikel ingin mematikannya terus boleh dilakukan dengan menekan ikon mentol dalam aplikasi. Kesemua perubahan yang dipilih akan dapat dilihat sekelip mata tanpa sela masa.

Tetapi tidak semuanya sempurna. Pad sesentuh yang digunakan untuk mengawal pelbagai fungsi Sonic Shuttle adalah antara yang paling cepat menimbulkan kemarahan yang pernah kami gunakan. Ia terkunci selepas beberapa saat. Proses nyahkunci pula memerlukan dua butang disentuh serentak yang hanya kami ketahui selepas membaca manual bercetak. SonicGear tidak menawarkan manual ini pada laman web mereka. Kalau kehilangan manual selamat maju jaya mencari cara menyahkunci pad sesentuh ini.

Pad sesentuh juga tidak begitu responsif. Apabila menekan butang laras audio misalnya, masa diambil untuk turun ke tahap paling rendah atau paling tinggi mengambil masa beberapa saat. Oleh sebab itulah kami rasakan kawalan menerusi telefon pintar adalah yang terbaik kerana ada senggatan yang menunjukkan tahap kelantangan audio yang sedang dilontar Sonic Shuttle.

Pada kesemua speaker mudah alih yang pernah kami gunakan sejak 42 tahun hidup menghabiskan oksigen di muka bumi Allah, Sonic Shuttle ialah yang pertama menggunakan pad sesentuh. Kami hanya berharap Allah tidak menghukum kehidupan kami yang sia-sia ini dengan sebuah lagi speaker dengan sistem sesentuh kerana adalah amat tidak mesra pengguna. Katakan tidak pada pad sesentuh pada speaker mudah alih!

Audio

Pengalaman penggunaan mungkin sedikit bercampur baur tetapi bagaimana pula dengan pengalaman audio kerana di akhir hari Sonic Shuttle ialah sebuah speaker. Sukacita kami katakan bagi sepasang speaker mudah alih kompak berharga RM199 kualiti audionya adalah lebih baik dari dijangka. Dalam bahasa penjajah kami katakan ia punching above their weight.

Ianya cukup lantang. Mungkin sekitar 50% lebih lantang dari kebanyakan speaker tablet dan komputer riba yang kami gunakan di rumah. Audio juga jelas asalkan tidak melebih tahap 80% kelantangan maksimum. Selepas had ini audio akan menjadi sedikit berkecamuk sehingga pengasingan audio mula hilang. Pada tetapan biasa harus kami akui audio muzik yang dihasilkan adalah sedikit rata. Tetapi sekali lagi ini kami katakan ini speaker RM199 dan mengharapkan audio yang mempunyai body adalah kurang realistik pada tanda harga ini.

Jika anda minat muzik klasikal, akustik, jazz, blues dan electronica Sonic Gear menawarkan audio yang memuaskan. Tetapi jika anda mendengar muzik rock, drum and bass dan metal, kami tidak boleh sarankan kerana audio sedikit pecah dengan pengasingan antara saluran kurang mantap. Oleh sebab yang sama, penggunaannya sebagai speaker menonton video juga sukar untuk disarankan.

Kekuatan sebenar Sonic Shuttle pada hemat kami ialah untuk sesi PdPR dan telesidang. Isu yang kami sedari ketika anak sedang menjalani sesi PdPR ialah audio yang tidak memuaskan dari iPad Air yang digunakan. Ia menembak ke sisi sehingga anak tidak dapat menangkap apa yang diucapkan guru. Isu diselesaikan dengan menggunakan Sonic Shuttle. Penghasilan audio percakapan untuk panggilan telefon dan telesidang juga amat baik.

Sebagai kesimpulan, Sonic Shuttle elok untuk audio percakapan dan akustik tetapi tidak untuk muzik rock dan menonton filem di rumah.

Bateri

Pada penggunaan biasa dengan lampu diaktifkan, kami dapat menikmati waktu penggunaan sekitar 8 jam. Sonic Shuttle diiklankan dengan hayat penggunaan sehingga 12 jam kerana bateri sebesar 5200 mAh. Waktu pengecasan semula adalah sekitar 6 jam dan adalah terlalu perlahan.

Perkara yang kurang kami suka ialah sukar melihat tahap caj bateri. Lampu yang agak kecil diletakkan di bahagian belakang yang sukar dilihat apabila speaker sedang digunakan. Apabila ditambat kepada telefon pintar menggunakan bluetooth pula, tahap bateri tidak ditunjukkan dalam senarai bluetooth peranti Ini ialah ciri yang sudah terbiasa kami gunakan dan ketiadaannya amatlah dikesali.

Sistem pengecasan yang disokong pula adalah 10W. Jika anda mempunyai pengecas berkuasa lebih tinggi (seperti pengecas 18W untuk Galaxy S21 yang kami gunakan setiap hari), ia tidak boleh digunakan untuk mengecas Sonic Shutte. Aneh sekali.

Kesimpulan

Pada harga RM199 sebuah, SonicGear Sonic Shuttle ialah speaker nirwayar mudah alih yang kami rasakan adalah menarik untuk dimiliki. Pengalaman audio walaupun bukan yang terbaik pernah kami nikmati tetapi adalah amat baik untuk speaker di dalam kelas yang sama. Audionya lantang dan jelas terutamanya untuk kegunaan PdPR dan sesi telesidang. Ia adalah alternatif yang lebih baik berbanding menggunakan speaker pada komputer riba atau tablet yang kurang jelas.

Terdapat pelbagai sokongan tambatan, sambungan dan media yang boleh disambung secara terus. Menarik sekali muzik MP3 turut boleh dimainkan menggunakan pemacu USB dan kad mikro SD boleh serta terdapat sokongan radio menerusi aplikasi.

Prestasi bateri juga memuaskan sehingga 12 jam cuma sistem pengecasan yang digunakan adalah perlahan. Secara keseluruhan SonicGear Sonic Shuttle ialah speaker mudah alih mampu milik yang kami syorkan bagi mereka yang mencari speaker gantian untuk sesi telesidang di rumah.

PRO dan Kelebihan
  • Audio lebih baik dari speaker dalam kelas yang sama.
  • Audio amat lantang terutamanya yang melibatkan percakapan.
  • Sokongan pelbagai tambatan, sambungan dan storan luaran.
  • Mempunyai lampu RGB yang boleh dikawal warnanya.
  • Sokongan aplikasi yang baik.
  • Hayat penggunaan bateri yang memuaskan dengan pengecasan USB-C
KONTRA dan Kekurangan
  • Pad sesentuh yang tidak mesra pengguna.
  • Tahap bateri tidak ditunjukkan pada telefon pintar semasa ditambat menggunakan bluetooth.
  • Rekaan serba plastik mungkin tidak selari dengan selera semasa.
  • Pengecasan 10W yang perlahan untuk bateri bersaiz besar.
  • Tiada sokongan NFC.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd