Robot vakum pada awalnya tidak begitu digemari orang ramai kerana tidak cukup pintar, tidak begitu efisien dan dijual pada harga yang membuatkan dompet menangis. Tetapi dengan perubahan teknologi, semakin hari harga komponen menjadi murah apabila lebih banyak pengeluar peranti mula menghasilkan lebih banyak produk yang lebih kurang sama.
Antara robot vakum yang pernah saya gunakan adalah daripada jenama Deebot dan Roborock iaitu antara dua jenama yang cukup terkenal dalam arena pembikinan robot vakum. Kini Xiaomi Malaysia mula membawa masuk robot vakum ke pasaran tempatan dan saya berpeluang menggunakan Mi Robot Vacuum-Mop P yang merupakan robot vakum dua dalam satu kerana turut boleh mengemop lantai. Menerusi ulasan ini saya cuba menjawab sama ada kini ialah masa terbaik untuk memiliki robot vakum.
Spesifikasi Dan Rekaan
Mi Robot Vacuum-Mop P menggunakan sensor LDS untuk navigasi. Ia menggabungkan sistem LiDAR dan juga laser untuk mengimbas kawasan dalam bilik atau rumah. Tambahan lagi, ia turut dilengkapi 12 sensor lain seperti bagi memberikan kejituan dalam pergerakan dan sensor yang boleh mengenalpasti halangan dalam ruang yang cuba dibersihkan. Kesemuanya bekerjasama sebagai deria yang lengkap. Robot vakum ini dijana dengan cip pemprosesan R16-J HA106BA 6B21 dengan empat-teras CPU Cortex-A7 dan GPU dwi-teras Mali-400.
Kuasa sedutan robot vakum ini adalah 2100Pa, mempunyai tangki 500mL (300mL untuk habuk dan 200mL untuk air), sistem tangki pintar di mana boleh menentukan sama ada sedang mop atau sedang vakum agar air tidak sentiasa meleleh dan juga mempunyai tiga mod pembersihan sama ada mop sahaja, mop+vakum atau vakum sahaja.
Sistem laser tadi boleh memancar sejauh 8m untuk mengimbas dan mencipta peta kawasan, 6×360 darjah imbasan akan dilakukan secara masa nyata untuk peta dihasilkan dalam sistem secara automatik dan turut boleh menentukan beza antara bilik, ruang tamu atau lain-lain lagi. Berat keseluruhan robot vakum ini adalah 3.2kg, menggunakan sistem WiFi 2.4GHz dan kapasiti bateri adalah 3200mAh.
Mi Robot Vacuum-Mop P turut mempunyai empat berus terbina, iaitu dua di tapak untuk tugasan utama dan dua di sisi untuk lebih mudah membersihkan sudut-sudut seakan menyapu. Setiap pembelian, dua kain berbeza disertakan untuk tujuan mop dan tugasan dua dalam satu. Turut disediakan adalah berus kecil dua-dalam-satu dengan pisau untuk memotong rambut atau habuk-habuk yang tersangkut.
Rekaan robot vakum ini adalah biasa sahaja. Ia menggunakan rekaan yang asas dan mirip dengan kebanyakan vakum lain di pasaran. Permukaan di atas ada bonggol besar dengan logo Xiaomi, iaitu sensor LiDAR, ada dua butang untuk kawalan seperti jeda, hidup atau matikan dan tetapan semula. Permukaan atas juga adalah penutup untuk mendedahkan tangki habuk.
Di hadapan hanya ada lubang untuk sensor seakan mata mencari jalan. Di bahagian belakang juga ada panel penyerap hentakan, tetapi mempunyai beberapa jalur besi untuk bersambung kepada dermaga pengecas. Di bawah adalah roda, berus-berus, tempat untuk pasang panel kain dan beberapa sensor lain termasuk dengan lubang untuk air mop dikeluarkan.
Pengalaman Penggunaan
Sudah banyak filem dan siri TV memperlihatkan bagaimana mudahnya tugasan seseorang manusia, apabila ada robot menjadi pembantu. Kita mungkin masih jauh lagi untuk memiliki robot yang boleh mimik manusia untuk ada di setiap rumah. Tetapi, dengan adanya robot vakum seperti Mi Robot Vacuum-Mop P – boleh dikatakan adalah antara langkah awal untuk kita memiliki robot mampu milik yang boleh meringankan beban seseorang.
Robot vakum daripada Xiaomi ini amat mudah untuk digunakan. Malah, sebalik sahaja dikeluarkan daripada kotak ia hanya perlu ditambat kepada aplikasi Mi Home dan dicaj terlebih dahulu untuk penggunaan kuasa penuh. Kebanyakan robot vakum dengan kemampuan mop terbina, biasanya dijual pada harga yang agak mahal. Tetapi pada harga tidak sampai RM1500 pun, semua ciri dan fungsi menarik sudah sedia ada pada robot Xiaomi ini.
Tangki 500mL agak besar. Tetapi, disebabkan ia terbina dengan tangki air untuk mop – ia terbahagi kepada dua bahagian. 300mL untuk habuk dan 200mL untuk air mop. 300mL untuk habuk ini untuk kawasan yang tidak begitu besar cukup memuaskan, kerana selepas sekitar empat sehingga lima sesi barulah ia penuh dengan habuk dan tangki perlu dikosongkan.
Tetapi, untuk mop ia agak kecil kerana hanya mampu mengemop sekitar satu sesi sahaja dan tangki air sudah hampir kering. Ini membuatkan tugasan vakum biasa tergendala jika ingin mengemop sekali, kerana perlu menjeda robot untuk isi kembali air pada tangki.
Mi Robot Vacuum-Mop P mengejutkan untuk mod biasa tidak mengeluarkan bunyi yang bising. Saya boleh menggunakannya di latar belakang sambil menjalani sesi telesidang tanpa diganggu. Tetapi kelantangan bunyi akan menjadi bising sekiranya beroperasi pada tahap sedutan medium atau turbo sehingga menimbulkan rasa marah ketika ingin melakukan kerja. Jadi disarankan melakukan pembersihan dengan kerap supaya robot ini boleh berfungsi dengan senyap di latar belakang.
Bergantung kepada pengguna, jika rajin mengemas bilik seperti kerap mengemop atau menyapu – robot ini akan membantu membersihkan ruangan sempit seperti di bawah rak, sofa atau meja. Jika ia mengesan ada habuk yang banyak, mod turbo akan diaktifkan secara automatik.
Kemampuan mengemop adalah agak baik cuma ia masih tidak cukup pintar mengenalpasti jika lantai mempunyai permaidani ataupun tidak. Kerap kali juga permaidani kami dimop sehingga basah. Syukur, ia tidak begitu basah seakan mop biasa.
Apa yang menjengkelkan adalah, kadangkala robot vakum ini sedikit malas. Kerja-kerja pembersihan yang dilakukan adalah ala kadar sahaja dan lantai masih lagi berhabuk. Akibatnya saya terpaksa menyapu sendiri kawasan yang tertinggal ini. Walaupun robot ini ada mata dan sistem yang pintar untuk mengimbas ruang dan halangan. Kawasan yang mempunyai halangan tetap dilanggar dan wujud juga kawasan yang tidak pernah robot langsung dilaluinya tanpa sebab musabab yang boleh diterima. Sistem pemetaan seakan mencipta sendiri kawasan yang tidak boleh dimasuki seperti Area 51 secara automatik.
Perkara ini boleh diselesaikan dengan mencipta dinding maya dalam aplikasi sebagai langkah untuk menghalangnya dari menerjah ke kawasan yang tidak sepatutnya. Jika halangan ini tidak dilakukan, robot ini boleh tersangkut di antara ruang makan dan dapur kerana cuba merentas.
Ia seakan situasi rakyat Malaysia yang degil merentas negeri walaupun sudah diberi amaran oleh Majlis Keselamatan Negara. Robot yang sepatutnya automatik terpaksa juga dipantau oleh manusia seakan mengupah pekerja baru yang bertugas pada hari pertama. Anda menjadi mandur manusia melihat sama ada kakitangan ini melakukan kerja dengan senonoh ataupun tidak.
Berat 3.2kg boleh diklasifikasikan sebagai ringan untuk sebuah robot. Jadi jika tersangkut, masih mudah untuk diangkat untuk ia kembali melakukan kerja. Binaan robot ini tidak begitu premium dan hanyalah diperbuat daripada plastik sementara warna hitam licin berkilat pula bukan warna yang paling sesuai untuk sebuah robot. Selepas hanya sekitar seminggu digunakan, tubuh mempunyai kesan calar balar kesan berlanggar dengan pelbagai objek di rumah.
Bateri
Xiaomi mendakwa yang bateri 3200mAh terbina boleh bertahan selama 110 minit untuk kawasan dengan keluasan 180 meter persegi (1937 kaki persegi). Ruang lantai yang agak besar berbanding saiz purata apartmen dan kondominium di Malaysia iaitu 900 kaki persegi.
Sepanjang penggunaan robot vakum ini, untuk kawasan seperti ruang tamu dengan keluasan sekitar 30 meter persegi, bateri daripada 100% berkurangan menjadi 65%. Dengan baki bateri ini, ia masih boleh melakukan kerja pembersihan untuk dua lagi sesi sepanjang hari.
Ini adalah untuk mod mop+vakum, yang memakan lebih banyak kuasa. Jika hanya vakum sahaja, bateri boleh bertahan lebih lama. Prestasi bateri tidak perlu dirisaukan kerana sebaik sahaja ia turun ke paras 20%, robot akan mengeluarkan bunyi dan kembali ke dermaga pengecasan. Jika robot sudah berada sedikit jauh dari lokasi dermaga pengecas, baki 20% ini mencukupi untuk ia bergerak kembali mengecas.
Fungsi Dan Ciri Pintar
Majoriti tugasan robot ini adalah automatik, tetapi kawalan manual masih lagi boleh dilakukan melalui aplikasi Mi Home. Contohnya menetapkan kuasa seperti auto, medium atau turbo. Aplikasi turut digunakan untuk memprogramkan rutin pembersihan. Pengguna boleh menetapkan waktu ia mula melakukan pembersihan dan bila ia perlu berhenti. Amat berguna bagi mereka yang mungkin berada di luar dan inginkan pembersihan dilakukan secara jarak jauh.
Untuk menetapkan kawasan yang lebih jitu, setiap peta yang telah diimbas boleh diubahsuai oleh pengguna. Antara yang boleh dilakukan adalah menamakan semula kawasan, menggabungkan kawasan, dan lain-lain. Arahan pembersihan yang lebih terperinci juga boleh diberikan seperti hanya bersihkan bilik tidur atau hanya bersihkan di kawasan kecil di bawah sofa. Walaupun aplikasi Mi Home mudah digunakan dengan antaramuka yang mesra pengguna, beberapa pilihan tetapan agak tersembunyi dan sukar dicari.
Bagi mereka yang risau tentang jangka hayat robot, menurut Xiaomi Mi Robot Vacuum-Mop P kebanyakan komponen yang digunakan adalah modular dan ini memudahkan proses membaikinya kelak. Ini berbeza dengan robot jenama lain seperti Deebot yang hanya disokong selama dua tahun. Selepas tempoh tersebut jika berlaku kerosakan pengguna tidak ada pilihan selain membeli robot gantian.
Kesimpulan
Xiaomi menjual Mi Robot Vacuum-Mop P pada harga RM1,399. Pada harga ini, boleh dikatakan ia adalah robot yang berbaloi. Ada sahaja robot di luar sana pada harga lebih murah tetapi ada yang terhad seperti tiada kawalan aplikasi, tiada sokongan mop, atau mungkin juga set import dengan tiada jaminan tempatan. Walaupun robot vakum Xiaomi ini tidak cukup pintar, ia masih lagi mampu melakukan tugasan seperti yang dipromosikan oleh Xiaomi.
Bateri yang tahan lama, mod auto yang tidak begitu bising, mudah untuk dikawal dan paling penting meringankan beban melakukan kerja rumah yang remeh. Walaupun kerja-kerja yang dilakukan tidak begitu bersih, tetapi apabila menyapu seperti biasa – ia tidak memakan banyak masa dan tidak begitu banyak yang perlu dibersihkan. Paling penting, jika di rumah saya adalah – bawah katil, bawah sofa dan bawah almari atau meja – ia boleh masuk dan membersihkan dengan baik. Tidak lagi saya perlu alihkan perabot, tenaga saya juga jimat.
Untuk mereka yang mencari robot vakum yang boleh melakukan dua kerja dalam satu masa, Mi Robot Vacuum-Mop P adalah antara yang berbaloi dimiliki untuk set rasmi yang dijual di pasaran Malaysia.
Pro
- Boleh mod dan vakum serentak.
- Mempunyai tangki habuk yang cukup besar untuk 4-5 sesi.
- Ketahanan bateri yang boleh diterima.
- Kawalan penting dalam aplikasi mudah digunakan.
Kontra
- Kerja mengemop tidak cermat sehingga permaidani menjadi panas.
- Tangki air dua-dalam-satu bukan yang terbaik kerana terlalu kecil.
- Tidak cukup pintar menentukan kawasan yang sudah ditetapkan.