Cari @ Amanz

Hari ini, Microsoft telah memperkenalkan binaan sistem operasi Windows 11 ujian untuk mereka yang berada dalam kumpulan Windows Insider untuk menguji sistem operasi tersebut sebelum ia mula diperkenalkan dan dijual kepada pengguna biasa.

Terkini, di laman blog mereka, mereka telah mengatakan keperluan untuk penggunaan model CPU khusus dan juga modul TPM 2.0 untuk kestabilan dan sekuriti sistem operasi tersebut, khususnya di era apabila komputer yang menggunakan sistem operasi Windows sering diserang penggodam tidak kira di rumah ataupun pejabat.

Walaubagaimanapun, untuk fasa ujian Windows Insider ini, Microsoft telah meringankan spesifikasi yang diwajibkan untuk memasang dan menguji sistem operasi ini dengan mengatakan bahawa keperluan untuk model CPU khusus dan juga penggunaan TPM 2.0 tidak diwajibkan buat masa ini.

Menurut Microsoft lagi, kelonggaran ini juga membolehkan pihak Microsoft untuk melihat bagaimanakah sistem operasi terbaru mereka ini berfungsi dengan pelbagai pilihan CPU yang masih lagi digunakan orang ramai sekarang.

Dengan ujian-ujian yang dijalankan oleh mereka yang berada didalam program Windows Insider ini, Microsoft juga boleh melakukan sejumlah pengoptimasian dalam membekalkan spesifikasi minima akhir sebelum sistem operasi Windows 11 dilancarkan secara rasmi kelak.

Sumber: Windows Blog

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd