Terdapat banyak ujian pengesanan yang telah dibangunkan untuk mengesan Covid-19. Menerusi teknologi sedia ada, pesakit dapat menerima rawatan dengan lebih awal dengan ini mengekang penularan wabak yang telah membunuh hampir 4 juta pesakit setakat ini. Terkini penyelidik dari MIT dan Harvard telah berjaya membangunkan pula prototaip pelitup muka yang mengesan Covid-19 dari nafas pemakai.

Teknologi biosensor wFDCF (wearable freeze-dried cell-free) digunakan untuk mengesan kewujudan virus pada nafas pemakai. Sensor ini adalah unik kerana ia tidak memerlukan sel yang hidup untuk mengesan molekul organik. Pada asalnya wFDCF dibangunkan untuk mengesan virus Zika dan Ebola di lapangan tetapi dengan Covid-19 kini menjadi ancaman terhebat dunia, ia diubahsuai untuk mengesan virus SAR-CoV-2.
Keputusan positif atau negatif mengambil masa 90 minit untuk dipaparkan pada sensor yang digunakan menerusi garisan berwarna biru. Menurut penyelidik, ketepatan mengesan Covid-19 menggunakan pelitup muka ini adalah setanding dengan ujian PCR yang diiktiraf sebagai paling tepat setakat ini.

Dengan wujudnya pelitup muka ini, pekerja barisan hadapan boleh mengesan diri mereka dijangkiti dengan segera. Terdapat juga versi dalam bentuk lencana yang disematkan pada pakaian untuk pekerja makmal. Ia seakan lencana radioaktif yang dipakai pelancong ke Chernobyl.
Pada waktu ini biosensor wFDCF tidak memerlukan sebarang kuasa elektrik untuk berfungsi. Tetapi sistem dengan gentian optik sedang dibangunkan untuk menghantar amaran Covid-19 dikesan terus ke telefon pintar. Pada waktu ini pelitup muka masih di peringkat prototaip tetapi bersedia untuk ditawarkan secara komersial dalam masa terdekat.
Sumber MIT