Cari @ Amanz

Di medan perang, sistem penyamaran (camouflage) adalah amat penting sekali. Sut ghillie misalnya digunakan penembak tepat untuk menyukarkan mereka dikesan ketika melakukan intipan kem musuh. Namun begitu dengan wujudnya sistem pengesan haba, sistem penyamaran sedia ada kesemua tidak berguna kerana haba tubuh sukar disorokkan.

Hakikat ini disedari oleh Asaf Picciotto pada tahun 2006 semasa beliau bertugas sebagai anggota tentera Israel ketika Perang Lebanon Kedua. Adalah mudah untuk mengelakkan diri dikesan di lapangan menggunakan kit penyamaran tetapi mustahil untuk menyorokkan pergerakan jika musuh mempunyai gogal pengesan haba.

Oleh itu beliau menghasilkan Kit 300 menerusi syarikat beliau Polaris Solutions. Kit 300 masih mempunyai penyamaran biasa yang membolehkan anggota kelihatan seperti permukaan batu. Tetapi ia turut mempunyai teknologi penyembunyian visual termal (thermal visual concealment TVC) yang mengelakkan haba tubuh dikesan apabila anggota menyorok di belakangnya. TVC diperbuat daripada bahan logam, polimer dan gentian mikro.

Kombinasi corak penyamaran dan menghalang haba akan membuatkan anggota tentera bergerak tanpa dikesan dengan mudah. Sistem Kit 300 telahpun diuji oleh tentera Israel dengan perancangan untuk menggunakannya di lapangan. Selain Israel, tentera Amerika Syarikat juga menunjukkan minat untuk mengujinya di dunia sebenar.

Sekiranya Kit 300 berfungsi sebaik seperti diiklankan, tentera di masa hadapan akan semakin sukar dikesan walaupun oleh makhluk asing dari filem Predator.

Sumber Polaris Solutions dan The Media Line

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd