Nikon Z fc Dilancarkan Dengan Rekaan Klasik dan Sensor 20.9 MP

Diterbitkan pada Jun 29, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Nikon Z fc dilancarkan hari ini sebagai sebuah lagi kamera digital nircermin untuk peminat fotografi. Sensor 20.9 MP yang digunakan adalah dari jenis DX yang dipadankan dengan cip pemprosesan imej EXPEED 6. Walaupun ia sebuah kamera digital nircermin, rekaan Z fc adalah mirip kamera DSLR Nikon Df yang dilancarkan lapan tahun lalu.

Oleh itu Nikon fc dipasarkan sebagai sebuah kamera siri Z yang moden dengan rekaan klasik. Ia mengekalkan tombol kawalan fizikal untuk ISO, kelajuan bukaan dan kawalan dedahan. Kemampuan rakaman video ialah sehingga 4K 30FPs dan fotografi pula adalah sehingga 11 bingkai sesaat. Namun begitu had rakaman video adalah sehingga 30 minit sahaja. Kamera juga boleh diubah menjadi kamera web untuk tujuan penstriman menggunakan perisian khas.

Sistem pemfokusan yang disokong adalah hibrid PDAF dan kontras dengan 209 titik pemfokusan. Ciri lain ialah skrin LCD 3″ di bahagian belakang yang boleh dilaras kedudukannya dan EVF OLED sebesar 0.39 inci. Kad memori yang disokong pula adalah SDHC dan SDXC. Akhir sekali bateri EN-EL25 yang disertakan memberikan hayat penggunaan sehingga 300 keping gambar dengan sekali caj.

Di Amerika Syarikat Nikon Z fc akan ditawarkan pada harga $960 (~RM3980) untuk tubuh sahaja dan $1100 (~RM4560) dengan lensa NIKKOR Z DX 16-50mm f/3.5-6.3 VR.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami