One UI adalah pelancar untuk peranti-peranti Samsung, yang mana versi terkini adalah One UI 3.0. Ia dibina berasaskan sistem operasi Android 11 dan sudah diedarkan kepada beberapa peranti Samsung. Antara ciri baru dalam One UI 3.0 adalah organisasi notifikasi mengikut kepentingan, Good Lock untuk peranti boleh-lipat dan pengguna S-Pen, panggilan video AR Emoji dan banyak lagi.
Terkini, pengguna semua sedang menantikan kehadiran kemaskini One Ui baharu yang pada awalnya dijangka adalah One UI 3.5. Ia mungkin adalah berasaskan Android 12, tetapi peniris terkenal Ice universe mendakwa versi baharu adalah One UI 3.1.1 yang akan tiba pada Galaxy Z Fold3 terlebih dahulu. One UI generasi baharu akan datang adalah One UI 4.0 yang dilancarkan bersama-sama peranti Galaxy S baharu akan datang.
Laporan daripada XDA mengesahkan yang kemaskini baharu akan datang adalah One UI 3.1.1, selepas Samsung menerbit senarai log perubahan untuk pemalam Nice Catch pada aplikasi Good Lock. Berdasarkan laporan ini, Samsung mungkin akan melangkau kitaran One UI biasa, dan terus ke One UI 4.0. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan. Samsung sejak kebelakangan ini mengedarkan kemaskini dengan cukup pantas. Kita mungkin akan lihat pengumuman rasmi dalam masa terdekat.